Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 8 July 2014

WORLD CUP 2014 - Ujian getir sebenar bermula


LIONEL Messi kelihatan memikul tanggungjawab secara berseorangan untuk membawa Argentina sehingga ke suku akhir setakat ini.

RIO DE JANEIRO - Tuan rumah, Brazil perlu mempertingkatkan permainan mereka apabila menentang Colombia manakala Jerman dan Perancis juga perlu memperbaiki diri masing-masing apabila Piala Dunia memasuki peringkat suku akhir (esok waktu Malaysia).

Brazil hampir disingkir oleh keampuhan Chile dalam pertemuan pusingan kedua, diselamatkan oleh palang pada minit terakhir masa tambahan sebelum layak menerusi penalti.

Kelibat bintang utama mereka Neymar di Fortaleza kelak berkemungkinan akan dikaburi oleh bintang Colombia, James Rodriguez, yang begitu menonjol dalam kejohanan ini serta mendahului senarai penjaring dengan lima gol.

Sementara itu, Jerman dan Perancis berhempas pulas untuk melepasi lawan mereka dari Afrika sewaktu menyingkirkan Algeria 2-1 dalam masa tambahan dan Nigeria 2-0 dalam 11 minit terakhir untuk menempah pertemuan di Maracana - dengan kedua-dua pasukan itu berharap untuk kembali ke stadium yang terkenal di Rio de Janeiro ini dalam perlawanan akhir pada 13 Julai.

Undian lain menyaksikan bintang Argentina, Lionel Messi berdepan dengan kelicikan pemain Belgium (12 tengah malam Ahad waktu Malaysia) di Brasilia selepas kedua-duanya memerlukan tambahan masa untuk mengetepikan Switzerland dan Amerika Syarikat.

Belanda, yang mengalahkan Mexico menerusi jaringan pada penghujung perlawanan, akan bertemu pasukan yang membuat kejutan, Costa Rica yang layak selepas menang menerusi penalti penentuan ke atas Greece.

Perlawanan-perlawanan dalam pusingan kedua menunjukkan bahawa tiada lawan yang mudah dalam Piala Dunia kali ini, dengan hanya Colombia yang terkecuali selepas mereka menang 2-0 ke atas Uruguay.

Pasukan Jose Pekermann itu tidak menunjukkan tanda-tanda mereka terjejas dengan ketiadaan bintang penyerang Radamel Falcao kerana rakan kelabnya di Monaco, Rodriguez lebih daripada berjaya mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

"Saya yakin itu mampu dilakukan (mara ke akhir) kerana kami memiliki apa yang diperlukan," kata pemain tengah, Carlos Sanchez.

Colombia menegaskan Brazil kuat bukan sahaja disebabkan kerana memiliki Neymar, dan mereka juga harus sedar bukan hanya Rodriguez yang menjadi kekuatan Colombia.

Pemenang perlawanan itu akan bertemu sama ada Jerman atau juara 1998, Perancis.

Ketika separuh akhir di Sepanyol pada 1982, Jerman Barat mengejar dar ketinggalan 3-1 dalam masa tambahan untuk mengalahkan Perancis dalam penalti penentuan pertama di Piala Dunia, dalam perlawanan yang turut diingati kerana penjaga gol, Toni Schumacher membuat terjahan kejam ke atas Patrick Battiston.

Jerman menang lagi di pusingan yang sama empat tahun kemudian (2-0) sementara satu-satunya kemenangan Perancis ialah dalam pertemuan pertama mereka, 6-3 dalam perlawanan untuk tempat ketiga pada 1958.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menafikan misi mereka adalah untuk membalas dendam kepada Jerman.

"Kebanyakan pemain belum pun lahir ketika itu. Apa yang saya perlu beritahu mereka? Saya berusia 14 ketika itu," katanya.

Perlawanan itu mempertemukan pasukan yang paling banyak menyepak ke arah gol (Perancis) dengan pasukan yang membuat hantaran tepat paling banyak (Jerman), menurut FIFA.

Sementara itu, Costa Rica akan berusaha untuk mencipta sau lagi kejutan apabila mereka menentang Belanda, selepas menewaskan dua bekas juara iaitu Uruguay dan Itali dalam peringkat kumpulan sebelum menewaskan Greece di peringkat kedua.

"Kami sangat sepadu, kuat dari segi mental. Orang tidak pandang pun kami, semuanya fikir kami tidak akan mendapat walau satu mata pun, dan itu membantu kami, itu telah memberi semangat kepada kam," kata penjaga gol, Keylor Navas yang sedang berada pada prestasi terbaik.

Pemain tengah Belanda, Nigel de Jong tersingkir daripada kejohanan ini akibat kecederaan tetapi jurulatih, Louis van Gaal memiliki banyak pemain lain untuk dipilih.

"Kami ada satu misi. Awak tidak ke Piala Dunia untuk bersenang-senang dengan pantai dan cuaca di Rio," kata pemain sayap, Arjen Robben.

Seperti juga Brazil yang banyak bergantung kepada Neymar, kemaraan Argentina pula banyak dibantu oleh Messi yang telah menjaringkan empat gol dan membuka peluang untuk Angel di Maria menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Switzerland.

Pertemuan dengan Belgium mengembalikan semula kenangan 1986 apabila Diego Maradona memporak-perandakan Belgium pada separuh akhir.

Tetapi Maradona bimbang yang Messi sahaja tidak cukup untuk membawa pasukan itu meneruskan kemaraan.

"Dia sering kali bersendirian. Jika sesuatu tidak menjadi, kita tidak sepatutnya menyalahkan dia apabila Argentina kalah," katanya. - DPA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140704/sl_02/Ujian-getir-sebenar-bermula#ixzz36qDs8ZKm  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: