Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 7 July 2014

WORLD CUP 2014 - Slimani cipta sejarah buat Algeria


PEMAIN Algeria, Islam Slimani menanduk bola ke gawang Rusia pada perlawanan terakhir Kumpulan H di Baixada Arena, Curitiba, semalam. - REUTERS

CURITIBA - Islam Slimani mencetuskan fenomena di Algeria apabila jaringannya pada minit ke-60 memastikan negara dari benua Afrika Utara itu mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama di Piala Dunia.

Menjadi pasukan terakhir melayakkan diri ke pusingan kedua, jaringan Slimani yang diperoleh menerusi tandukan itu memadamkan kelebihan yang dimiliki Rusia bagi mengikat keputusan perlawanan 1-1.

Rusia sebelum itu mendahului melalui jaringan Alexander Kokorin pada minit ke-6, tetapi gagal menangani asakan fizikal oleh Algeria yang cukup bersemangat tinggi mahu mendapatkan sesuatu dalam perlawanan berkenaan.

Kontroversi turut menyelubungi gol yang dicipta Algeria apabila pengurus Rusia, Fabio Capello mendakwa penjaga gol, Igor Akinfeev diganggu oleh pancaran laser daripada para penyokong semasa situasi sepakan percuma.

Ulang tayang di televisyen menunjukkan terdapat pancaran laser berwarna hijau dihalakan ke badan penjaga gol ketika dia cuba menumbuk keluar bola hantaran lintang pemain Algeria, dan dia telah tersilap melakukan jangkaan apabila sekadar menumbuk angin sebelum Slimani mudah menanduk bola ke dalam gawang yang ternganga.

Algeria mara selaku naib juara Kumpulan H, dan akan berdepan Jerman di Porto Alegre bagi mencari tempat ke suku akhir, dan pertembungan kedua-dua pasukan itu menjadi medan terbaik buat `Desert Foxes' membalas dendam dengan apa yang terjadi pada Piala Dunia 1982.

"Sejarah kembali menghantui mereka selepas 32 tahun dan kami cukup bangga kerana berjaya mencapai sesuatu dalam perlawanan hari ini (semalam).

"Semua pemain layak dijulang seperti wira, dan saya rasa kami memang patut layak daripada kumpulan ini. Sekarang peluang buat pemain menamatkan dendam semenjak tahun 1982, " kata jurulatih Algeria kelahiran Bosnia, Vahid Halilhodzic.

Pada 1982, Algeria menjadi mangsa keadaan apabila Jerman atau lebih dikenali sebagai Jerman Barat pada masa itu melakukan pakatan bersama Austria dalam perlawanan terakhir untuk meraih keputusan seri tanpa jaringan, sekali gus menyingkirkan Agleria menerusi perbezaan jaringan.

"Kami kini menjadi satu-satunya wakil Arab di Piala Dunia, kami memberikan imej baru kepada dunia bola sepak, dan nama Algeria kini menarik perhatian banyak pihak terutama di negara saya, Bosnia, Croatia, dan seluruh dunia.

"Kami akan berdepan Jerman tetapi saya yakin banyak penyokong tuan rumah, Brazil akan memihak kepada kami," kata Halilhodzic.

Sementara itu, Capello yang tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan mengakui Algeria lebih layak menang kerana bermain lebih baik berbanding pasukannya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140628/sl_04/Slimani-cipta-sejarah-buat-Algeria#ixzz36kL7Iuhs  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: