Singkirkan Nigeria 2-0 pada pusingan kedua di Nacional Estadio, Brasilia, pagi ini. - REUTERS
PAUL Pogba memenuhi impiannya pada Piala Dunia apabila meledak gol untuk membawa Perancis melangkah ke suku akhir dengan menyingkirkan Nigeria 2-0 di Nacional Estadio, Brasilia, pagi ini.
Bintang muda Juventus itu mengakui, dia hilang kata-kata kerana tidak menduga akan menjadi penyumbang utama kepada kejayaan Les Bleus selepas tandukannya pada minit ke-79 dan gol sendiri pemain lawan, Joseph Yobo memastikan kemenangan mereka.
Saya hilang kata-kata.
Apa yang saya tahu, seluruh negara kami berada di belakang menyokong pasukan.
Berjaya menjaringkan gol yang membantu kemenangan pasukan adalah satu perasaan yang hebat, namun yang penting pasukan kami menang.
Semua yang saya lakukan adalah untuk negara, untuk Perancis," kata pemain tengah berusia 21 tahun itu, yang turut menganggap membawa Perancis ke suku akhir Piala Dunia sebagai detik paling indah dalam hidupnya.
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, kapten Les Bleus ketika muncul juara Piala Dunia 1998 telah membawa transformasi kepada pasukan itu selepas diaibkan di Afrika Selatan, empat tahun lalu ekoran kemelut dalaman serta penyingkiran di peringkat kumpulan.
Saya amat bangga dengan pencapaian pasukan hari ini.
Kami telah menempuh pelbagai cabaran getir untuk mendapatkan kemenangan," kata Deschamps.
Nigeria bagaimanapun tampil lebih meyakinkan di awal permainan apabila mengejutkan Perancis menerusi jaringan Emmanuel Emenike, namun gol itu tidak dikira oleh pengadil kerana ofsaid.
Bermula babak kedua, Pogba memecah kebuntuan apabila melakukan tandukan yang mengelirukan penjaga gol, Vincent Enyeama.
Jaringan itu menambah tekanan Super Eagles dan pada waktu kecederaan, berlaku kekalutan dalam kawasan mereka sehingga mendorong Yobo menjaringkan gol sendiri.
Pujian bagaimanapun wajar diberi kepada Enyeama yang menafikan banyak percubaan tepat Perancis.
Sejurus tamat perlawanan, jurulatih Nigeria, Stephen Keshi menyuarakan rasa tidak puas hati kerana pengadil gagal membela terjahan keras yang dilakukan pemain lawan ke atas Ogenyi Onazi.
Ini adalah kali pertama saya mengkritik mutu pengadil perlawanan dan saya akui amat kecewa dengan pegawai pertandingan.
Saya juga kecewa dengan keputusan pengadil menafikan gol yang sepatutnya kami raih dalam perlawanan ini.
Saya ingin tahu atas alasan apa pengadil menidakkan gol tersebut," kata Keshi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140701/sl_23/Pogba-jadi-hero#ixzz36lUEjU9G © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment