Miguel Herrera
FORTALEZA - Sumpahan pusingan kedua Mexico pada Piala Dunia masih tidak dapat dipecahkan.
Bermain dalam pusingan 16 terakhir bagi kejohanan keenam berturut-turut, Mexico tampak seperti mereka akhirnya melakukan semuanya dengan betul ketika menentang Belanda semalam.
Pertahanan kebal mereka mengekang Belanda daripada bebas menjaringkan gol, penjaga gol Guillermo Ochoa membuat beberapa penyelamatan gol yang hebat dan deretan peluang babak pertama mereka menghasilkan satu gol oleh Giovani Dos Santos sejurus selepas rehat.
Itu semua terlerai pada minit ke-88.
Ochoa tidak mampu berada di setiap tempat di Arena Castelao dan Wesley Sneijder akhirnya menewaskannya dengan rembatan yang disasar rendah.
Beberapa minit kemudian, Klaas Jan Huntelaar menjaringkan gol kedua Belanda menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan untuk mereka menang 2-1, selepas Arjen Robben dijatuhkan oleh Rafael Marquez.
"Pemain amat sedih. Benar-benar menyakitkan apabila tersingkir dengan cara begini.
"Kami tersingkir kerana satu peluang yang direka. Kami akan pulang sekarang, pengadil juga patut berbuat begitu," kata jurulatih Mexico, Miguel Herrera.
Herrera berkata, Robben wajar diberikan amaran oleh pengadil Pedro Proenca bagi dua insiden cuba mendapatkan sepakan penalti sebelum itu.
Bagaimanapun dia turut mengakui bahawa pemainnya hilang tumpuan pada minit terakhir perlawanan yang dihentikan dua kali oleh pengadil untuk mmeberi peluang kepada pemain menyejukkan diri.
Mexico telah bermain lima daripada 20 Piala Dunia, mara ke suku akhir sebagai tuan rumah dalam 1970 dan 1986, tetapi tidak mampu memperbaiki rekod mereka sejak kali terakhir menjadi tuan rumah kejohanan ini 28 tahun lalu.
Mexico yang menggunakan formasi 5-3-2 hanya melepaskan satu gol sebelum perlawanan semalam dan Ochoa merupakan tonggak kepada kekebalan mereka.
Dan penjaga gol Mexico itu menjadi faktor penting lagi semalam, melakukan satu penyelamatan yang tampak mustahil pada minit ke-57 apabila menggunakan badannya untuk menghalang percubaan Stefan de Vrij.
Asakan itu mengenai penjaga gol itu dan kemudian melantun daripada tiang.
Sembilan minit kemudian, Ochoa, 28, membongkok untuk menghalang rembatan hampir gol daripada Robben yang berlari dari kanan dan melompat mengatasi Marquez.
Namun sejurus selepas jaringan Sneijder, Ochoa tersalah andaian arah sepakan penalti Huntelaar. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140701/sl_12/Jurulatih-Mexico-salahkan-pengadil#ixzz36lSZlFXs © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment