Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 7 July 2014

WORLD CUP 2014 - 10 pemain Costa Rica halang kemaraan Greece


PEMAIN-pemain Costa Rica meraikan kejayaan mereka mara ke suku akhir selepas menumpaskan Greece 5-3 menerusi penalti penentuan di Recife semalam. - AFP

RECIFE - Penjaga gol, Keylor Navas dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas dia menghalang Greece di dalam tendangan penalti penentuan sekali gus membantu Costa Rica layak ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dan akan bertemu Belanda.

Kekurangan seorang pemain pada separuh masa kedua, Costa Rica hampir mencatat kemenangan pada masa sebenar sehinggalah pertahanan Greece, Sokratis Papastathopoulos menjaringkan gol penyamaan pada waktu kecederaan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Navas, yang menghalang percubaan bertalu-talu pihak lawan dalam perlawanan itu, meneruskan kehebatannya di dalam masa tambahan 30 minit.

Kemudian dia menolak bola keluar dengan sebelah tangan bagi menghalang tendangan penyerang Greece, Theofanis Gekas sewaktu penalti penentuan.

Costa Rica kemudian mendapat gol kemenangan penalti 5-3 dan memastikan harapan skuad dari Amerika Tengah itu dalam Piala Dunia terus menyala.

"Kepada semua anda di rumah dan juga di jalanan, kemenangan ini adalah untuk anda.

"Orang Costa Rica mencintai bola sepak dan mereka berhak untuk mendapat (kejayaan) ini. Kami amat bercita-cita tinggi, kami mahu berkembang dan membangun serta dengan izin tuhan kami berjaya ke peringkat seterusnya dalam kejohanan ini," kata pengurus Costa Rica, Jorge Luis Pinto.

Ketua pasukan, Bryan Ruiz menjaringkan gol pada minit ke-52 untuk meletakkan Costa Rica di hadapan.

Tetapi pemain pertahanannya, Duarte diarahkan keluar padang setelah dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari pemain lawan dan Greece melihat peluang mereka untuk mendapatkan gol penyamaan.

Greece mengheret perlawanan ke masa tambahan apabila Papastathopoulos menerkam bola melantun setelah sepakan Gekas ditampan oleh Navas dalam minit pertama masa tambahan.

Tetapi, itu merupakan satu-satunya percubaan yang membolosi penjaga gol Costa Rica itu sepanjang perlawanan berlangsung dan dia kemudiannya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

"Dia penjaga gol yang luar biasa, dan saya fikir dia merupakan salah seorang pemain yang berjaya menunjukkan prestasi terbaik di Piala Dunia," kata Pinto.

Jurulatih Greece, Fernando Santos turut memuji kecekapan Navas.

"Penjaga gol telah menjadikan pasukan mereka berbeza. Dia menghalang kami pada penghujung masa tambahan, dan sekali lagi ketika penalti penentuan.

"Jika bukan kerana dia, keputusan perlawanan akan menjadi berbeza," katanya.

Greece memiliki beberapa peluang untuk memenangi perlawanan dalam masa tambahan sewaktu menentang pemain-pemain Costa Rica yang kepenatan.

Peluang-peluang yang terlepas itu amat terbukti menerusi tendangan penalti para pemain Greece. - AFP




No comments: