PENYERANG Perancis, Paul Pogba (kanan) menanduk bola untuk menjaringkan gol sewaktu menentang Nigeria di pusingan kedua di Brasilia semalam. - REUTERS
BRASILIA - Perancis menamatkan impian Nigeria untuk layak ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama apabila mereka meledakkan dua gol di penghujung perlawanan untuk menang 2-0 ke atas pasukan 'Super Eagles' itu dalam saingan pusingan kedua semalam.
Pemain tengah Perancis, Paul Pogba meletakkan pasukannya di hadapan menerusi tandukkan pada minit ke-79 setelah penjaga gol Nigeria, Vincent Enyeama gagal menolak jauh bola yang melintasi gawang gol setelah Mathieu Valbuena membuat sepakan sudut.
Kemenangan Perancis disahkan apabila Joseph Yobo secara tidak sengaja menjaringkan gol sendiri pada masa kecederaan, sekali gus memastikan pasukan kendalian Didier Deschamps itu bakal berdepan Jerman di peringkat suku akhir.
"Saya berbangga dengan segala-galanya yang dilakukan pasukan sejak bermulanya perlawanan lagi. Keadaan menjadi sedikit tegang di atas padang kerana mereka (Nigeria) adalah sebuah pasukan yang kuat, tetapi kami telah layak ke peringkat suku akhir dan akan berusaha sepenuhnya untuk mara lebih jauh," kata Deschamps.
Pada masa sama, Pogba turut berbangga dengan jaringannya yang dilihat amat penting dalam memberikan kemenangan kepada Perancis.
"Tiada kata-kata yang boleh menjelaskan perasaan ini. Saya tahu seluruh negara kami menyokong pasukan ini dan menjaringkan gol tersebut menyebabkan kami rasa seperti bebas dan saya amat gembira untuk seluruh Perancis," katanya.
Sementara itu, perlawanan tersebut dikatakan penuh dengan kontroversi apabila tonggak tengah Nigeria, Ogenyi Onazi mengalami kecederaan dan dikeluarkan setelah dikasari oleh Blaise Matuidi yang bernasib baik kerana hanya dilayangkan kad kuning.
Nigeria turut dinafikan gol pada separuh masa pertama apabila jaringan Emmanuel Emenike dikatakan ofsaid.
Jurulatih Nigeria, Stephen Keshi tidak berpuas hati dengan kedua-dua kejadian berkenaan.
"Saya tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan. Dua kali Onazi dikasari dengan teruk dan perkara tersebut mungkin menyebabkan dia terpaksa berehat dalam tempoh masa yang lama. Ini merupakan kali pertama saya mengkritik pengadil dan ia bukanlah perkara baik.
"Jika awak lihat gol yang kami jaringkan juga tidak mempunyai sebarang kesalahan, namun tetap dibatalkan tanpa sebab yang kukuh. Saya mahu tahu mengapa pengadil membatalkan jaringan tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140702/sl_06/Nigeria-hancur-dalam-10-minit-terakhir#ixzz36ljeexnM © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment