PEMAIN tengah Brazil, Fernandinho mengakui dia kagum dengan James Rodriguez tetapi tidak akan memberi ruang kepada pemain itu apabila mereka bertemu pada suku akhir Sabtu ini.
PEMAIN tengah Colombia, James Rodriguez semakin mendapat tumpuan selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Uruguay.
TERESOPOLIS - Brazil pasti berdepan dengan masalah besar jika memberikan ruang kepada James Rodriguez dalam aksi suku akhir Piala Dunia berdepan Colombia, demikian amaran pemain tengah The Selecao, Fernandinho kepada rakan sepasukannya.
Pemain berusia 22 tahun itu yang dianggap sebagai bintang paling menyerlah di Piala Dunia setakat ini, menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan dan salah satu jaringannya dilabelkan sebagai gol terbaik semasa menewaskan Uruguay pada pusingan kedua.
Malah, Fernandinho mengakui dia sebenarnya sudah lama melihat bakat yang ada pada Rodriguez apabila mereka berdua bertembung di atas padang dalam aksi Liga Juara-juara melibatkan Shakhtar Donetsk, kelab lama Fernandinho dan FC Porto pada September 2011.
"Saya ada menentang FC Porto yang diwakili oleh Rodriguez pada masa itu, dia baru sahaja bermula aksinya di Eropah dan dia tidak diletakkan dalam kesebelasan utama.
"Dalam perlawanan tersebut, dia menunjukkan keupayaan teknikal yang begitu tinggi pada bahagian kaki kirinya dan pada Piala Dunia ini, dia menunjukkan nilai yang dibayar oleh Monaco untuk mendapatkannya dari Porto adalah berbaloi dan jika dia tidak diberikan banyak ruang semasa berdepan menentang kami, ia lebih baik buat Brazil, " kata Fernandinho.
Tanpa sebarang persoalan, Fernandinho berkata, tiada sebarang persoalan yang mereka perlu merantai pergerakan Rodriguez, yang berpindah dari Porto ke Monaco dengan yuran perpindahan RM 197.5 juta (45 juta Euro) pada tahun lalu.
"Di mana sahaja dia bermain, bukan satu strategi yang sesuai merantai pergerakan pemain itu secara individu dan kami semua perlu menyekatnya secara bersama dan mengikut zon," kata pemain tengah Manchester City berkenaan.
Walau bagaimanapun, Brazil terpaksa berdepan tekanan tinggi daripada para penyokong dan mereka hampir ditunjukkan jalan keluar oleh Chile di Belo Horizonte.
Pada perlawanan berkenaan, penjaga gol, Julio Cesar, menjadi wira Brazil dengan menyelamatkan dua sepakan Chile untuk membantu pasukannya menang 3-2 manakala Nemar antara yang paling gembira selepas tamat permainan.
Ketua pasukan, Thiago Silva, turut menangis semasa meraikan kemenangan dan dia antara pemain yang dikritik kerana dianggap gagal menjadi ketua yang baik kepada pasukan.
Ketua pasukan Brazil, Carlos Alberto, yang memenangi Piala Dunia 1970 di Mexico, memberitahu akhabar harian sukan Lance: "Dia sepatutnya berada di tengah padang dan memberikan arahan kepada rakan sepasukan, dia adalah ketua pasukan."
Bagaimanapun, Fernandinho menafikan skuad Brazil pada kali ini secara mental tidak begitu kuat untuk memenangi kejuaraan di tempat sendiri.
"Kami telah melakukan persiapan rapi semenjak 26 Mei, termasuk daripada aspek psikologi, tiada sebarang keperluan lagi buat kami mengadakan perkara yang sama pada masa ini.
"Apa yang penting pada kami sekarang kami ada tanggungjawab untuk rakyat negara ini seramai 200 juta orang yang mengharapkan kegembiraan dan hari lebih baik melalui sukan bola sepak.
"Kami kena mengekalkan tahap konsentrasi sepanjang permainan terutama pada situasi sepakan penalti," katanya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140702/sl_09/Fernandinho-mahu-sekat-Rodriguez#ixzz36lkv0Xzd © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment