SWITZERLAND mengikut skrip Algeria, Nigeria dan Mexico yang hampir melakar kejutan, namun pada akhirnya pasukan gergasi, Argentina menepati ramalan mara ke suku akhir selepas menang 1-0 di Brasilia, pagi ini.
Tidak kiralah dengan cara apa kemenangan dipahat skuad La Albiceleste, yang pasti Argentina memastikan tiada pasukan besar mengalami kejutan sebaik sahaja kejohanan masuk peringkat kalah mati.
Turun selaku juara dua kali, skuad yang diketuai Lionel Messi diheret ke masa tambahan dan memerlukan gol Angel Di Maria, dua minit sebelum tamat permainan untuk menang.
Kemenangan membawa Argentina bertemu Belgium, Ahad ini dan masih memegang status calon juara, biarpun ramai yang mungkin berpersoalkan kemampuan mereka selepas mengharungi 123 minit tanpa gol.
Jaringan hanya hadir pada minit ke-124 selepas Messi yang menewaskan pertahanan lawan, melakukan hantaran cantik untuk disudahkan Di Maria.
Saya bukan wira pasukan ini. Semua 23 pemain dan kakitangan teknikal pasukan kami adalah wira sebenar.
Kami sentiasa melakukan yang terbaik dan hanya membuat satu kesilapan pada separuh masa pertama menyebabkan berlaku situasi satu lawan satu dengan penjaga gol, (Sergio) Chiquito Romero.
Selain kesilapan itu, kami bermain baik dan saya percaya kami lebih daripada layak untuk memenangi perlawanan ini," kata bintang Real Madrid, Di Maria.
Selepas kedua-dua pasukan buntu mencari gol sepanjang 90 minit permainan sebenar, Messi mengatur serangan pantas dan melepasi kawalan pertahanan Switzerland sebelum melakukan hantaran kepada Di Maria, yang membawa kemenangan kepada juara 1986 dan 1978 itu.
Biarpun ketinggalan 0-1, Switzerland tidak berputus asa dan hampir mengheret permainan ke penentuan sepakan penalti, namun tandukan Blerim Dzemaili sekadar terkena tiang gol.
Bola sepak sangat kejam, kejam dan kejam. Malang sekali, kami tidak punya cukup kekuatan pada penghujung masa tambahan.
Itulah hakikat bola sepak, hanya satu kesalahan kecil kami dihukum. Kami berpeluang meraih gol sebelum itu...ia sangat kejam," kata penolong jurulatih Switzerland, Michel Pont.
Di sebalik kejayaan layak ke suku akhir, skrip Argentina bagaimanapun tidak berubah sejak perlawanan pertama apabila terlalu bergantung kepada kapten, Messi sama ada untuk mencipta gerakan atau meledak gol.
Switzerland yang cuba meraih tiket suku akhir buat kali pertama sejak 1954 tetap layak dipuji apabila sedikit pun tidak gentar dengan reputasi besar lawan mereka dan memperoleh beberapa peluang baik menerusi Granit Xhaka, Xherdan Shaqiri serta Josip Drmic, namun dinafikan oleh ketangkasan Romero.
Argentina kini menyertai bekas-bekas juara, Brazil, Jerman dan Perancis yang kesemuanya dipaksa berhempas pulas dalam perlawanan masing-masing sebelum meneruskan kemaraan.
Turut melangkah ke suku akhir adalah naib juara 2010, Belanda, Belgium, Colombia dan pasukan underdog, Costa Rica.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140702/sl_16/Gergasi-teruskan-dominasi#ixzz36lm3Sebj © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment