JERMAINE Jones (kiri) ditenangkan rakan sepasukan, Julian Green selepas Amerika Syarikat tewas kepada Belgium di Arena Fonte Nova, Salvador, pagi ini. - AFP
PENJAGA gol Amerika Syarikat, Tim Howard mengakui, Romelu Lukaku telah memusnahkan impian mereka untuk melangkah ke suku akhir apabila menukar rentak permainan Belgium sebaik saja dibawa masuk sebagai gantian pada minit ke-91.
Jaringan Lukaku dan Kevin De Bruyne pada masa tambahan membantu Red Devils menumpaskan Amerika Syarikat 2-1 di Salvador, pagi ini, sekali gus menjadi pasukan terakhir melengkapkan tiket suku akhir.
Dilabel sebagai kuda hitam Piala Dunia 2014, Belgium memenuhi reputasi tersebut, namun ujian sebenar mereka hanya hadir di Brasilia, Ahad ini apabila bakal berdepan juara dunia dua kali, Argentina.
Dalam perlawanan sengit di Arena Fonte Nova itu, kedua-dua pasukan buntu mencari gol sepanjang 90 minit permainan hingga memaksa saingan diheret ke masa tambahan.
Lukaku, yang dibawa masuk menggantikan Divock Origi pada minit ke-91 berjaya menukar rentak permainan, menjadikan Belgium lebih agresif sebelum akhirnya De Bruyne memecah kebuntuan dengan membuka jaringan pada minit ke-93.
Lukaku, 21, kemudian meletakkan pasukannya selesa mendahului 2-0 pada minit ke-105.
Apabila mereka membawa masuk Rom (Lukaku) keadaan terus berubah. Dia melakukan banyak gerakan, berlari ke arah kami, mencipta gol dan melakukan hantaran untuk rakan-rakannya.
Rom menukar permainan, dia memusnahkan kami.
Hati saya amat terluka, saya tidak fikir ada apa-apa lagi yang boleh kami lakukan kerana kami sudah memberi segala-galanya hari ini.
Kami akan meninggalkan Brazil selepas tewas di tangan pasukan yang sangat bagus. Mereka memanfaatkan peluang dengan baik," kata Howard, rakan sepasukan Lukaku di Everton.
Kemenangan Belgium juga memastikan kesemua lapan slot suku akhir dipenuhi oleh juara kumpulan, kali pertama berlaku sejak kejohanan diubah kepada format 32 negara pada 1998.
Malah, lebih menarik lagi, semua pasukan ini tidak pernah kalah dalam perlawanan masing-masing.
Jurulatih Belgium, Marc Wilmots mengakui, menentang Amerika Syarikat adalah detik paling mendebarkan buatnya sepanjang kempen Piala Dunia.
Kami memiliki kira-kira 15 peluang, selain mengawal permainan dan memang berhak meraih kemenangan ini.
Pemain saya juga telah mencapai had maksima untuk memastikan pasukan melepasi misi awal, layak ke suku akhir. Kemenangan ini membolehkan seluruh Belgium berpesta," ujar Wilmots.
Belgium memang berhak dinobat sebagai pemenang apabila lebih banyak menguji Howard dengan serangan bertubi-tubi sebelum berjaya memperoleh jaringan menerusi sepakan kaki kiri De Bruyne pada babak pertama masa tambahan.
Lukaku menghadiahkan gol kedua menerusi gerakan pantas untuk memberi kelebihan selesa kepada Red Devils.
Biarpun Amerika Syarikat cuba mengejar dan merapatkan kedudukan 1-2 menerusi Julian Green pada minit ke-107, namun tiada apa yang mampu dilakukan anak-anak buah Juergen Klinsmann untuk menghalang kemaraan Belgium.
Pencapaian terbaik Belgium pada Piala Dunia ialah melangkah ke separuh akhir pada 1986.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140702/sl_19/Lukaku-musnahkan-kami---Howard#ixzz36ln1mPMq © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment