Pemain Belanda, Daley Blind (kiri) melakukan rembatan kencang untuk menghadiahkan gol kedua pasukannya pada aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2014 di Brasilia semalam. - REUTERS
BRASILIA - Kempen buruk Brazil dalam Piala Dunia ditamatkan dengan iringan suara ejekan semalam apabila pasukan tuan rumah tunduk dengan kekalahan 3-0 kepada Belanda dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.
Sepakan penalti oleh Robin van Persie dan rembatan Daley Blind menyaksikan Belanda mendahului 2-0 ketika permainan baharu saja berlangsung 17 minit dan Brazil terpaksa menghadapi satu lagi episod memalukan setelah sebelumnya dibelasah 7-1 oleh Jerman pada separuh akhir.
Sekali lagi, pertahanan Brazil rapuh, untuk Belanda mendapat gol pertama pada minit ketiga apabila van Persie membuka ruang buat Arjen Robben menyusup ke belakang mereka.
Thiago Silva menarik bintang Bayern Munich itu, dan walaupun kesalahan dilakukan di luar kawasan gol, pengadil Djamel Haimoudi dari Algeria menunjukkan ke titik penalti. Silva pula bernasib baik kerana hanya menerima kad kuning.
Pertahanan Brazil pecah lagi pada minit ke-17.
Hantaran lintang Daryl Janmaat dari kanan disambut oleh kesilapan David Luiz yang menanduk ke depan gawang untuk Blind menjaringkan gol antarabangsa pertamanya.
Georginio Wijnaldum menambah gol ketiga buat Belanda pada penghujung perlawanan, sekali gus menyemarakkan lagi laungan ejekan terhadap Brazil.
Dengan keputusan itu, Belanda menamatkan kempen Piala Dunia tanpa kalah dalam perlawanan masa normal buat kali pertama. Kemaraan mereka tersekat di separuh akhir apabila tumpas kepada Argentina menerusi penalti penentuan.
Skuad Oranje yang merupakan naib juara empat tahun lalu, dan tempat ketiga kali ini merupakan pencapaian terbaik mereka sejak final 1974 dan 1978.
Brazil pula bertambah derita selepas kalah besar 7-1 kepada Jerman di separuh akhir. Sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan, pasukan tuan rumah diejek oleh kira-kira 70,000 peminatnya. Segelintir pula meninggalkan Stadium Nasional ketika Belanda belum mendapat gol ketiganya.
"Rasa sungguh teruk, saya tidak tahu apa nak diperkatakan. Selepas kalah besar kepada Jerman, hari ini (semalam) kami cuba sebaik mungkin namun nasib tidak menyebelahi kami. Kami perlu memperbaiki diri kami demi masa depan pasukan," kata Oscar.
Sementara itu Wijnaldum yang mendapat gol hasil sepakan jarak dekat pada masa kecederaan berkata kemenangan itu menggembirakan sedikit pasukan setelah gagal ke final.
"Ini merupakan detik indah buat kami untuk melupakan duka yang lalu. Kami tersingkir untuk ke final namun kami menamatkan perjuangan kami di tempat ketiga," kata Wijnaldum.
Brazil kelihatan hilang arah dari awal permainan dengan melakukan kesilapan yang sama ketika bertemu Jerman dan Belanda bijak menggunakan peluang tersebut untuk segera membuat hantaran dan pantas menyerang.
"Penghabisan yang bagus kerana awak boleh melupakan kekecewaan di separuh akhir dan saya rasa berbangga.
"Pujian patut diberikan kepada pasukan kerana setiap pemain bekerjasama dengan baik," kata Robben.
Brazil menuntut sepakan penalti selepas Oscar dijatuhkan pada minit ke-68 namun pengadil memberikan kad kuning kepadanya kerana mendakwa pemain itu berlakon.
"Amat menyedihkan kerana pengakhiran kami tidak sepatutnya menjadi seperti ini namun ini adat resam dalam bola sepak. Saya meminta maaf kepada peminat kami yang terus menyokong kami walaupun tewas 7-1 sebelum ini.
"Mereka mengejek selepas tamat permainan tapi itu perkara biasa kerana mereka juga mempunyai perasaan," kata Silva.
Ini kali keempat Brazil beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat. Mereka menewaskan Sweeden pada 1938 dan Itali pada 1978 namun tewas kepada Poland pada 1974.
Belanda bermain dua kali apabila dikecewakan oleh Crotia 2-1 pada 1998 selepas tewas kepada Brazil pada pusingan separuh akhir. - AGENsI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140714/sl_01/Aib-Brazil-bertambah#ixzz37PrMq72m © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment