Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 14 July 2014

PIALA MALAYSIA 2014 - Laluan getir buat juara-juara

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my

KETUA pasukan JDT, Aidil Zafuan Abdul Radzak (kiri) membuat cabutan undi pada Majlis Undian Piala Malaysia 2014 di Bukit Jalil semalam.

KUALA LUMPUR - Undian saingan Piala Malaysia 2014 semalam terarah kepada juara bertahan, Pahang yang pada peringkat awal akan bersemuka dengan Felda United, pasukan yang dikalahkannya 2-1 dalam perlawanan Piala FA bulan lalu.

Lions XII yang menang 4-1 di Singapura selepas tewas 1-0 di Kuantan dalam Liga Super lalu, turut menanti Tok Gajah dalam Kumpulan A selain Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang layak menerusi playoff biarpun bersaing dalam Liga Perdana.

Kumpulan B tampak seperti 'kurang glamor' sekali pun memiliki juara 2001, Terengganu malah disifatkan jurulatihnya, Abdul Rahman Ibrahim sebagai mendera kerana masing-masing terpaksa berjalan jauh Sarawak, Perak dan Kedah.

Laluan getir turut menanti juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berada dalam Kumpulan C dengan juara Piala Malaysia 2010 dan 2012, Kelantan tanpa memperkecilkan pengalaman Angkatan Tentera Malaysia selain kembalinya Pulau Pinang.

Juara 32 kali, Selangor bakal meneruskan 'Misi 33 Piala Malaysianya', yang saban tahun tersasar, dalam Kumpulan D namun perlu mengharungi cabaran juara Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia; Sime Darby yang senyap tapi berbisa dan T-Team, satu lagi pasukan yang layak dari playoff.

Namun tatacara undian di Dewan Perdana Institut Sukan Negara, Bukit Jalil semalam masih cuba memberikan keseimbangan dan keadilan kepada setiap pasukan berdasarkan pencapaian dalam Liga Super dan Perdana malah empat pasukan terbaik liga itu, di­asingkan lebih awal.

Malah tiada pasukan senegeri seperti Terengganu, T-Team, JDT dan JDT II serta Sime Darby dan Felda United dibenarkan berada sekumpulan pada peringkat awal Piala Malaysia 2014 yang membuka tirainya 13 Ogos ini dan mencapai kemuncaknya di Bukit Jalil pada 8 November depan.

Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan berkata, tiada yang mudah dalam pertandingan Piala Malaysia.

"Kami tidak boleh pandang ringan walaupun ada dua pasukan Liga Perdana bersama kami dalam Kumpulan A.

"Usaha yang lebih tinggi diperlukan untuk mempertahankan gelaran ini walaupun saya tidak menganggapnya tekanan. Yang penting juga ialah sejauh mana keinginan pemain untuk mengulanginya kali ini," katanya.

Penolong jurulatih Lions XII, Nazri Nasir pula berkata, pihaknya gembira dengan undian itu walaupun sedar berdepan lawan yang bukan mudah untuk ditewaskan.

"Penting bagi kami melepasi peringkat kumpulan untuk memburu Piala Malaysia," katanya.

Penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim pula mengakui populariti pasukannya membuatkan mana-mana lawan sentiasa mahu menyaingi anak buahnya dengan bermati-matian apabila memasuki Piala Malaysia namun mereka tetap menganggapnya satu cabaran.

Jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic yang menjulang Piala Malaysia 1995 hingga 1997 sebagai pemain Red Giants turut menerima hasil undian dengan tangan terbuka.

"Undian yang amat baik dan sukar tetapi saya gembira. Saya harap kami berjaya walaupun berdepan jadual perlawanan yang padat," katanya.

Jurulatih Kelantan, George Boateng yang hanya mengambil alih tugas daripada Steve Darby mulai April lalu dengan pencapaian terbaik mereka, separuh akhir Piala FA musim ini, menyifatkan undian memihak kepada pasukannya.

"Saya tidak boleh mengharapkan undian yang lebih baik daripada ini," katanya, yang akan berusaha untuk memperbaiki keputusan mereka muncul naib juara musim lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140714/su_02/Laluan-getir-buat-juara-juara#ixzz37Q5jbEUs  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: