Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 8 July 2014

Wajib menghormati simbol negara

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada 500 pelajar Sekolah Kebangsaan Laksamana, Kuching, Sarawak mengibarkan Jalur Gemilang dalam satu majlis yang diadakan di sekolah itu. - GAMBAR HIASAN

SEBAHAGIAN daripada kita sudah pasti masih ingat perbuatan biadab beberapa aktivis propembangkang yang cuba menukar Jalur Gemilang dengan bendera Sang Saka Malaya.

Mereka dengan bangganya mengibarkan bendera yang menyerupai bendera Indonesia dan Singapura pada malam sambutan hari kemerdekaan di Dataran Merdeka selama dua tahun berturut-turut pada 2012 dan 2013.

Antara alasan yang diberikan oleh kumpulan berkenaan untuk bertindak sedemikian adalah kerana Jalur Gemilang cukup sinonim dengan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah negara sejak merdeka.

Oleh itu, bukan sahaja kerajaan yang perlu ditukar, malah ia juga harus melibatkan bendera walaupun pada hakikatnya Jalur Gemilang telah dipilih majoriti rakyat menerusi satu pertandingan.

Cukup menyedihkan, perbuatan kumpulan terbabit yang mengguris hati banyak pihak terlepas daripada hukuman walaupun terdapat peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang boleh digunakan.

Ekoran itu, perlakuan menghina simbol negara terus menjadi-jadi termasuk perbuatan kira-kira 100 pelajar Malaysia di Taiwan berpakaian serba hitam sambil memegang Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik.

Apabila kita menghina Jalur Gemilang, ia bererti kita memperlekehkan maksud tersirat yang terdapat pada bendera berkenaan seperti warna biru yang melambangkan perpaduan rakyat, bulan sabit sebagai tanda Islam agama rasmi dan warna kuning yang melambangkan raja-raja Melayu.

Sebenarnya, bukan sahaja bendera diperlekehkan, malah ia telah merebak untuk mencaci Malaysia, kaum Melayu, orang Islam dan agama Islam semata-mata kerana marahkan UMNO dan BN.

Perkara itu didedahkan oleh pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dalam artikel yang dimuat naik dalam portal berkenaan pada 23 Jun lalu.

Hasil pemantauan beliau terhadap komen-komen dan bahan-bahan yang dimuat naik dalam Facebook serta Twitter mendapati jurang antara kaum dan agama kini semakin melebar sehingga ke tahap melampaui batas.

Menurutnya, rakyat Malaysia kini seolah-olah tidak lagi kisah apa yang keluar dari mulut mereka dan sama ada apa yang diperkatakan itu menyinggung atau melukakan perasaan orang lain.

Penganalisis politik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling yang diminta mengulas pandangan Raja Petra itu berkata, apa yang didedahkan bukanlah sesuatu yang baharu kerana komen sedemikian sudah lama berlegar di ruang siber.

Beliau melihat fenomena itu semakin ketara setelah DAP memenangi banyak kerusi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini termasuk berjaya memerintah Pulau Pinang.

"Bagi saya komen-komen yang memburukkan negara, raja, agama Islam dan mengaitkan Malaysia sebagai kerajaan Melayu merupakan agenda tersusun pihak-pihak berkenaan bagi memburukkan BN.

"Yang cukup menyedihkan, terdapat juga segelintir orang Melayu yang terlibat sama dalam perbuatan memburuk-burukkan negara," ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menegaskan, tragedi 13 Mei tidak akan berulang jika kerajaan dapat bertindak terhadap pihak-pihak yang jelas sekali cuba menghasut dan mencetuskan huru-hara.

"Saya melihat pertubuhan Melayu seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempunyai tahap kesabaran yang tinggi sehingga tidak melakukan tindak balas yang akan mencetuskan huru-hara.

Pertubuhan-pertubuhan Melayu ini masih meletak harapan kepada kerajaan untuk bertindak termasuk melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Harapan ini tidak harus disia-siakan. Pihak kerajaan tidak boleh menjadikan faktor Facebook dan Twitter dikendali syarikat asing sebagai alasan untuk tidak menyekat komen-komen sedemikian.

"Walaupun tidak mendapat kerjasama syarikat yang mengurus laman sosial terbabit, kerajaan masih boleh mendapat perintah mahkamah supaya individu terbabit menarik balik komen-komen mereka yang menghina negara," katanya.

Mengulas isu sama, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan yakin 13 Mei versi kedua seperti yang diramalkan itu tidak akan berlaku kerana semakin ramai yang mula sedar bahawa komen-komen bercorak sedemikian tidak baik untuk perpaduan kaum.

"Pengguna Internet sudah semakin matang dan saya dapati ramai di kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan komen-komen yang menghina orang Melayu, raja dan Islam," katanya.

Kepada segelintir yang masih tidak mahu menggunakan Internet dengan berhemah, beliau bagaimanapun berharap kerajaan agar mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap mereka.

Dalam pada itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, secara peribadi sebagai rakyat Malaysia dan presiden pertubuhan itu, beliau berharap tragedi berkenaan tidak berulang.

Beliau berkata, terdapat tiga faktor yang akan menentukan sama ada tragedi berkenaan akan berulang atau tidak.

Pertamanya, kerajaan tegas dalam mengurus perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang dan keselamatan.

Kedua, jika rakyat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dan lantang, masih lagi dapat mengawal keadaan dan diri bagi mengelak detik hitam itu daripada berulang.

Bagaimanapun, jelasnya, terdapat faktor ketiga yang dibimbangi boleh mencetuskan huru-hara iaitu ‘nila setitik yang merosakkan susu sebelanga’.

Beliau menarik perhatian keadaan huru-hara yang tercetus di Mesir dan Tunisia semasa Arab Spring, gara-gara provokasi seorang dua yang terlibat dalam perhimpunan haram.

"Perkasa insya-Allah tetap (inginkan keamanan). Selagi mana saya masih menjadi Presiden, saya seboleh mungkin akan mengawal ahli-ahli agar tidak termakan provokasi yang boleh mencetuskan anarki," katanya.




No comments: