Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 8 July 2014

Cabar perlembagaan larangan

Oleh AMIRUDDIN HARUN, SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

Ariffin Zakaria

KUALA LUMPUR 7 Julai - Mahkamah Persekutuan berpendirian bahawa tindakan mencabar keperlembagaan peruntukan undang-undang berhubung larangan penggunaan kalimah Allah tidak boleh dibuat atas alasan ketidakpatuhan prosedur dan bagi mendapatkan bidang kuasa.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata, persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Gereja Roman Katolik dalam mendapatkan kebenaran merayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan adalah merupakan hak mereka, namun perlu ditekankan bahawa persoalan itu berkaitan penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald.

"Saya berpandangan bahawa persoalan ini tidak boleh diteliti secara berasingan tanpa mengambil kira peruntukan yang dipertikaikan (peruntukan dalam enakmen di beberapa negeri yang melarang penggunaan Allah)," kata beliau dalam penghakiman penuh ketika menolak permohonan Gereja Roman Katolik bagi mendapat kebenaran merayu terhadap larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald versi bahasa Melayu.

Hakim Arifin seterusnya berkata, Mahkamah Tinggi tidak sepatutnya melayan tindakan untuk mencabar kesahan atau keperlembagaan peruntukan undang-undang tersebut berdasarkan kepada kedua-dua alasan itu.

Ini kerana, menurut beliau, pihak yang mahu mencabar larangan penggunaan kalimah tersebut dari segi Perlembagaan perlu secara khusus memohon deklarasi bahawa peruntukan undang-undang itu adalah tidak sah, dan prosiding itu hanya boleh dilakukan dengan kebenaran hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau dengan itu berpendapat bahawa Mahkamah Rayuan adalah betul ketika mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati peruntukan dalam enakmen beberapa buah negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah adalah tidak berperlembagaan.

Penghakiman bertulis setebal 38 muka surat itu dikeluarkan hari ini setelah panel tujuh hakim diketuai oleh Hakim Arifin yang mencapai keputusan majoriti 4-3 menolak permohonan kebenaran merayu gereja berkenaan pada 23 Jun lalu.

Keputusan menolak dibuat oleh Ketua Hakim Negara bersama-sama bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; dan Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar.

Sementara Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha mencapai keputusan membenarkan permohonan itu.

Berhubung persoalan undang-undang pentadbiran, Hakim Arifin berkata, Mahkamah Rayuan mengguna pakai ujian kes undang-undang yang betul ketika membenarkan rayuan Kerajaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan dalam keputusannya berpuas hati bahawa Menteri Dalam Negeri telah melaksanakan budi bicaranya dengan betul selepas menimbang dengan teliti alasan beliau melarang penggunaan kalimah Allah.

Mahkamah Tinggi ketika itu memutuskan bahawa perintah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penerbitan tersebut daripada menggunakan kalimah Allah adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Keempat-empat hakim berkenaan juga sepakat bahawa tidak sesuai bagi mereka untuk campur tangan dalam keputusan Mahkamah Rayuan dengan memberikan kebenaran merayu.

"Dalam hal ini, ingin saya menambah bahawa sekalipun mahkamah ini tidak bersetuju dengan penghakiman Mahkamah Rayuan, ia bukan merupakan alasan yang mencukupi bagi kami memberikan kebenaran (merayu)," kata beliau.

Mengenai persoalan isu-isu teologi (ketuhanan), menurut Hakim Arifin, daripada fakta yang dikemukakan, adalah jelas bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan itu tidak berdasarkan pertimbangan teologi.

Oleh itu, beliau berkata, persoalan yang ditimbulkan oleh hakim-hakim Mahkamah Rayuan berhubung isu itu hanya berdasarkan kepada pandangan mereka semata-mata.

Gereja Roman Katolik selaku pemohon mengemukakan sejumlah 28 persoalan undang-undang bagi menyokong permohonannya yang menamakan Menteri Dalam Negeri, kerajaan Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor, Kedah, Selangor dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) selaku pihak responden.

Pada 2009, Gereja Roman Katolik diketuai Ketua Paderi, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden, antara lain memohon perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Majalah mingguan itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam versi bahasa Malaysia, terutamanya bagi memenuhi keperluan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140708/ma_01/Cabar-perlembagaan-larangan#ixzz36pmp5RUw  © Utusan Melayu (M) Bhd 



"Kebenaran perlu diberi, keputusan bersifat umum"

PUTRAJAYA 7 Julai - Keputusan Mahkamah Rayuan sewaktu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah dilihat seolah-olah 'pukul rata' dan tidak ubah seperti satu larangan umum sedangkan permohonan kebenaran oleh Gereja Roman Katolik dalam penggunaan kalimah tersebut hanya membabitkan bahagian bahasa Melayu penerbitan tersebut.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dalam penghakiman bertentangannya berkata, terdapat merit dalam permohonan mendapatkan kebenaran oleh gereja terbabit kerana keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan seolah-olah melarang penggunaan kalimah Allah oleh kesemua individu bukan Islam dalam apa juga bentuk, dalam semua acara.

"Ini akan melibatkan ramai pihak seperti komuniti Sikh yang tidak dinamakan sebagai pihak di dalam kes ini," katanya dalam penghakiman penuh Mahkamah Persekutuan yang diperoleh media hari ini.

Tambah hakim terbabit, tiada sebab kenapa hak beragama sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan perlu dikongkong kepada kepentingan dan keutamaan sesuatu agama sahaja sedangkan isu kebebasan beragama dan perlindungannya perlu merangkumi kesemua pihak dan bukannya diasingkan.

Oleh itu, adalah wajar kebenaran diberikan bagi memberi peluang kepada Mahkamah untuk memastikan sama ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang tepat telah digunakan atau ditafsirkan dengan betul dalam mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan The Herald untuk menggunakan kalimah Allah selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penerbitan itu daripada menggunakan kalimah Allah adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Gereja Roman Katolik selaku pemohon memohon kebenaran untuk merayu namun ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun lalu dengan keputusan majoriti 4-3.

Hakim Malanjum dalam penghakimannya menyatakan, menerima pakai hujah Peguam Kanan Persekutuan berhubung usaha panel Mahkamah Rayuan yang membuat kajian sendiri berdasarkan internet secara tidak langsung akan mengikat mahkamah lebih rendah sedangkan konsep tersebut masih belum diuji keberkesanannya.

Hakim itu memberitahu, walaupun terdapat beberapa isu yang akan bertindan antara satu sama lain, namun adalah mustahak bagi mahkamah untuk menilai kesemua aspek teknikal yang perlu didengar dalam satu perbicaraan penuh sebelum membuat sesuatu keputusan.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zainun Ali dalam penghakiman menentang menyatakan, adalah wajar Mahkamah Persekutuan memberikan kata putus dalam hal ini.

Ujar beliau, kes ini telah menimbulkan pelbagai isu kepentingan awam yang tidak boleh dipandang remeh dan perlu dikaji dan diselesaikan atau ia akan mengakibatkan beberapa isu prinsip perundangan di peringkat Mahkamah Rayuan akan kekal tidak jelas dan tidak diperbetulkan.

Selain itu, Hakim Zainun mengatakan, fakta yang diambil daripada afidavit dan internet tidak disokong atau disahkan menjadikan ia tidak boleh diterima pakai.

"Atas alasan itu, sesuatu kemungkinan tidak boleh diterima sebagai kebenaran," katanya.

Seorang lagi Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dalam penghakimannya pula memberitahu, pada peringkat permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu, adalah tidak perlu untuk menyegerakan sesuatu penghakiman apabila isu dan meritnya masih belum dibentang dan dihujahkan.

Hakim Kok Wha berkata, terdapat bukti jelas pada setiap peringkat bahawa isu penggunaan kalimah Allah yang telah dipertimbangkan dan dinilai oleh Menteri Dalam Negeri yang kemudian melaksanakan arahan, Mahkamah Tinggi yang mengetepikan perintah menteri dan penghakiman Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan mahkamah terdahulu, jelas menunjukkan terdapat persoalan atau isu berkaitan perlembagaan mengenai kalimah terbabit.

Selain itu, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa persoalan mengenai isu-isu perlembagaan tersebut telah dikekalkan atau diberi justifikasi oleh menteri dan dijawab oleh mahkamah-mahkamah terdahulu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan kesannya.

"Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memperoleh keputusan yang berbeza. Namun, ia adalah berdasarkan peruntukan oleh perlembagaan. Persoalan berkaitan Perlembagaan perlu dijawab oleh Mahkamah Persekutuan kerana ia terlalu kabur untuk diputuskan oleh mahkamah yang lebih rendah," kata hakim terbabit.

Atas alasan-alasan yang dinyatakan, ketiga-tiga hakim tersebut berpendapat bahawa kebenaran untuk merayu perlu diberikan bagi membolehkan isu-isu berkaitan Perlembagaan terutamanya dapat diselesaikan.


© Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: