Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 14 July 2014

Jadual Piala Malaysia 2014 'mendera' pemain - Jurulatih


KETUA pasukan dari negeri dan kelab bergambar bersama trofi Piala Malaysia selepas Majlis Undian Piala Malaysia 2014 di Bukit Jalil semalam. - utusan/Hazrol Zainal

KUALA LUMPUR - Dua bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan dan Abdul Rahman Ibrahim awal-awal lagi membayangkan betapa keletihan dan risiko cedera bakal menanti pemain-pemain mereka apabila tirai saingan Piala Malaysia 2014 disingkap pada 13 Ogos ini.

Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sathianathan turut mengandaikan satu tugas perit buat jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh dalam memanggil pemain bagi latihan pusat ke siri persahabatan dan Kejohanan AFF gara-gara kepadatan jadual pertandingan Piala Malaysia edisi ke-48.

Abdul Rahman pula menyifatkan Kumpulan B yang menempatkan pasukannya, Terengganu sebagai yang paling susah daripada segi jarak dan masa perjalanan apabila terpaksa bertandang ke Sarawak, Perak dan Kedah, berbanding pasukan dalam tiga kumpulan lain.

"Perjalanan jauh kami bakal memakan banyak masa jika selepas terbang ke Sarawak dan pulang, kerana pemain perlu cuba memulihkan diri dalam masa yang terhad dan mungkin kepenatan menjelang perlawanan berikutnya," katanya selepas majlis undian Piala Malaysia di Dewan Perdana Institut Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.

Sathianathan yang sedar akan dikecam kerana kelantangan mulutnya, turut menyarankan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dianggotai pemain dan jurulatih yang dianggap lebih arif dengan keperluan rehat dan pemulihan selepas beraksi.

"Saya juga berasa undian Piala Malaysia patut dijalankan lebih awal iaitu sebaik sahaja liga kita berakhir. Sukar saya hendak merancang perlawanan pemanas badan selepas liga kerana undian (Piala Malaysia) lambat dibuat dan kami tidak tahu siapa lawan kami (ketika itu)," katanya.

Mengulas undian Kumpulan C yang menempatkan ATM yang merupakan naib juara 2012, de­ngan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT); bekas pasukannya juga juara 2010, Kelantan selain Pulau Pinang, Sathianathan berkata dia sudah berpuas hati jika pasukannya layak ke kelompok lapan pasukan terakhir.

"Jika dapat ke suku akhir pun kami sudah anggap satu bonus. Lawan-lawan kami kuat," katanya.

Saingan pusingan awal Piala Malaysia 2014 berlangsung pada 13, 14, 19, 20, 22, 23, 26, 27, 29 dan 30 Ogos selain pada 2 dan 3 September. Pertandingan itu akan berehat sebulan sebelum memasuki peringkat suku akhir pada 3, 4, 17 dan 18 Oktober.

Jadual separuh akhir pula ditetapkan pada 24, 25 dan 31 Oktober serta 1 November manakala perlawanan akhir pada 8 November, dijangka dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Seri Afandi Hamzah yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, pertandingan direhatkan sebulan bagi memberi laluan kepada pasukan negara dan Harimau Muda membuat persiapan sebelum ke Sukan Asia Incheon yang akan berlangsung pada 19 September hingga 4 Oktober.

Beliau turut mendedahkan betapa saingan Liga Super dan Liga Perdana musim ini semakin mempamerkan kemeriahan dan kerancakan sambutan dan keha­diran penonton ke stadium-stadium sekali gus satu petanda baik bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

Majlis undian semalam turut menyaksikan penganugerahan Ka­sut Emas kepada penjaring terbanyak Liga Super, Paulo Rangel dari Sela­ngor dengan 16 gol. Edward Junior Wilson pula merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana de­ngan 19 gol bersama Felda United.

Kuantan FA dan Kuala Lumpur diumumkan menyertai Liga Perdana 2015 selepas mereka bergelar juara dan naib juara Liga FAM musim ini dengan masing-ma­sing beroleh hadiah kemenangan RM60,000 dan RM30,000.




No comments: