SELASA, 4 NOVEMBER 2014 @ 2:39 PM
PENYOKONG Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba merempuh halangan yang dipasang pihak polis berhampiran Istana Kehakiman, Putrajaya pada hari keenam rayuan terakhir kes liwat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Ghazali Kori
PUTRAJAYA: Suasana di perkarangan Istana Kehakiman di sini sedikit kecoh apabila penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba merempuh pagar besi halangan, pada 1.35 tengah hari.
Mereka yang mula bergerak menuju ke arah Istana Kehakiman sambil melaungkan beberapa slogan, cuba menimbulkan suasana tegang, namun ia dapat dikawal oleh anggota polis yang bertugas.
Ketika kejadian, seorang lelaki warga emas yang memegang sebatang kayu cuba bertindak kasar terhadap polis supaya polis membuka pagar halangan selain mencabar polis untuk menembaknya. Namun, anggota polis yang berada di lokasi kejadian berjaya memulihkan kembali situasi dengan meminta lelaki itu beredar sebelum lelaki itu ditenangkan oleh penyokong Anwar.
Sementara itu, tinjauan Bernama juga mendapati sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlegar-legar melakukan tinjauan dari ruang udara di sekitar bangunan Istana Kehakiman di sini.
Jurucakap polis memberitahu Bernama hanya sebuah helikopter sahaja bertugas menjalankan tinjauan dari udara demi sejak 12 tengah hari tadi.
Hari ini, pihak pendakwaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meneruskan hujah balas terhadap alasan rayuan pembelaan, diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment