KHAIRULANUAR YAHAYA | 11 November 2014 5:15 PM
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa usul Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (duduk, lima kanan), Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (duduk, lima kiri) dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom (duduk, enam kiri). - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR 11 Nov.- Dua isu hangat iaitu Akta Hasutan dan sekolah vernakular antara sembilan perkara yang dijangka mendominasi perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang akan berlangsung pada 25 hingga 29 November ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Ibu pejabat UMNO telah menerima sebanyak 755 usul daripada 191 Bahagian UMNO seluruh negara.
“Jumlah tersebut melibatkan 368 Usul Untuk Rujukan dan 117 Usul Tanpa Bahas. Tiada usul yang ditolak. 638 Usul Untuk Rujukan melibatkan 81 usul pindaan perlembagaan, 87 usul politik, 67 usul ekonomi, 74 usul agama, 170 usul sosial, 121 usul pendidikan dan 38 usul lain-lain,” kata beliau.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul, Perhimpunan Agung UMNO 2014 bercakap demikian pada sidang akhbar di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Menurut Hishammuddin, isu kawalan dan penguatkuasaan media sosial yang dikatakan lemah, kos sara hidup dan kualiti kehidupan turut dijangka akan mendominasi perbahasan nanti.
“Selain itu isu pengkaderan dalam UMNO dan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memartabatkan ekonomi bumiputera juga akan dibahaskan oleh perwakilan,” katanya.
Turut menjadi tumpuan adalah usaha memartabatkan peranan cawangan-cawangan dengan peruntukan secukupnya, tataetika pemilihan parti dan pindaan serta penambahbaikan perlembagaan parti dengan memasukkan fasa ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Hishammuddin berkata, perwakilan tidak diberi sebarang sekatan dalam membahaskan usul pada perhimpunan nanti.
Selain itu seorang jurucakap daripada perwakilan Kelab UMNO Luar Negara dan seorang wakil mahasiswa institut pengajian tinggi tempatan juga diberi peluang untuk berbahas. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/umno-bahas-isu-akta-hasutan-sekolah-vernakular-1.23468#sthash.cEScvHZ6.dpuf
No comments:
Post a Comment