Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 4 November 2014

Kapal selam negara buktikan keupayaan – Abdul Aziz

04 November 2014 2:36 AM


Abdul Aziz Jaafar (dua dari kanan) bersama Jean Yves Le Drian (tiga dari kiri) menunjukkan isyarat bagus di atas kapal selam KD Tun Razak dekat Sepanggar, Sabah, semalam. – UTUSAN/ Azrul Edham Mohd. Aminuddin

SEPANGGAR 3 Nov. – Keupayaan kapal selam negara, Kapal Diraja (KD) Tun Razak melancarkan torpedo Black Shark tepat ke sasaran dengan kelajuan yang ditetapkan pada 31 Oktober lalu memberi gambaran jelas terhadap kemampuan aset negara itu dalam melaksanakan tugas menjaga kedaulatan negara.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, kejayaan melakukan pelancaran torpedo berkeupayaan tinggi tersebut diharap dapat menutup segala tohmahan jahat pihak tidak bertanggungjawab terhadap ‘kekuatan' kapal selam negara.

Menurutnya, sesi latihan tersebut bukan sahaja membuktikan keupayaan memusnah dengan sempurna, malah penggunaan torpedo berkeupayaan tinggi iaitu Black Shark telah terbukti memberi satu kelebihan kepada kapal selam negara.

“Black Shark merupakan satu senjata baharu kapal selam yang merupakan hasil perkongsian kerjasama dua buah negara iaitu Itali dan Perancis. Malah tembakan yang dilakukan pada 31 Oktober lalu adalah yang pertama kalinya bagi torpedo Black Shark sejak diperkenalkan oleh syarikat pengeluar.

“Dalam latihan yang dilakukan di perairan Laut China Selatan itu, KD Tun Razak berjaya melaksanakan tugas dengan sempurna apabila memusnahkan struktur feri yang diubah suai untuk tujuan penembakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan rasmi Menteri Pertahanan Perancis, Jean Yves Le Drian ke Markas Angkatan Kapal Selam TLDM di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di sini hari ini. Yang turut hadir, Duta Perancis di Malaysia, Christophe Penot; Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar dan Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Muda Abdul Rahman Ayob.

Dalam pada itu, Abdul Rahman ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, Malaysia merupakan negara kedua membeli torpedo Black Shark selepas Chile.

“Selepas itu baharu negara lain beli torpedo berkenaan. Berdasarkan rekod, negara itu banyak menggunakan torpedo Black Shark jenis latihan tetapi belum pernah menggunakan torpedo Black Shark untuk peperangan. Secara tidak rasminya, Malaysia atau TLDM boleh ditakrifkan sebagai negara pertama membuat penembakan torpedo Black Shark konfigurasi perang setakat ini,” jelasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kapal-selam-negara-buktikan-keupayaan-8211-abdul-aziz-1.20548#sthash.HFRJ9W7g.dpuf



TLDM lancar penembakan torpedo Black Shark kapal selam Scorpene
01 November 2014 2:10 AM


Sebuah feri penumpang yang telah diubah suai kelihatan musnah selepas menerima sasaran tembakan torpedo Black Shark kapal selam KD TRZ di perairan Laut China Selatan pada pukul 11.20 pagi, semalam.

KOTA KINABALU 31 Okt. – Kapal selam KD Tun Razak hari ini melakar sejarah apabila melaksanakan penembakan torpedo Black Shark di Perairan Laut China Selatan.

Penembakan dari aset strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu mengenai sasaran permukaan yang disasar pada jarak dan kelajuan ditetapkan pada 11.20 pagi.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Awam Markas TLDM hari ini, KD Tun Razak melancarkan torpedo Black Shark ke sasaran permukaan iaitu sebuah feri penumpang yang mengenai dan memusnahkan struktur feri yang diubah suai untuk tujuan penembakan.

“Penembakan kali ini melakarkan sejarah, apabila buat pertama kalinya kapal selam negara melaksanakan penembakan torpedo semenjak kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman tiba di Pelabuhan Klang pada 3 September 2009.

“Selain itu, penembakan itu adalah yang pertama kalinya bagi torpedo Black Shark sejak diperkenalkan oleh syarikat pengeluar torpedo Whitehead Alenia Sistemi Subacquei (WASS) dari Itali,” kata kenyataan itu.

Operasi penembakan itu melibatkan aset bantuan daripada perkhidmatan TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset untuk keselamatan kawasan, tim sasaran, rakaman dan analisis selain penglibatan KD Jebat, KD Terengganu, KD Kasturi, KD Laksamana Tan Pusmah, helikopter Fennec, kapal penyelamat kapal selam Mega Bakti dan bot tempur CB 90 serta tim penyelam sementara aset TUDM yang turut terlibat ialah pesawat B 200T dan EC 725.

Menurut kenyataan itu, kejayaan penembakan itu membuktikan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia khususnya TLDM sentiasa di tahap tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara, sekali gus meletakkan TLDM antara pasukan tentera laut yang wajar digeruni di rantau ini. – BERNAMA

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tldm-lancar-penembakan-torpedo-black-shark-kapal-selam-scorpene-1.19329#sthash.7rsQyTg9.dpuf


No comments: