Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 28 November 2014

Polis minta Akta Hasutan ditambah baik

28 November 2014 1:58 AM

PUTRAJAYA 27 Nov. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta beberapa penambahbaikan yang bersesuaian dilakukan terhadap Akta Hasutan 1948 bagi memudahkan proses pendakwaan ke atas pihak yang bertanggungjawab mencetuskan kekacauan dalam negara.
KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) berkata, akta tersebut perlu diperkukuh­kan lagi terutama daripada segi memudahkan pihak polis mengemukakan pertuduhan terhadap mereka yang terlibat dengan aktiviti itu dengan segera.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji dan mengemaskini akta tersebut supaya proses pendakwaan lebih mudah dijalankan.

“Saya mengalu-alukan pengekalan Akta Hasutan ini dalam kea­daan yang mana kebebasan untuk bercakap, bersuara, menulis dan pelbagai perkara lagi sudah banyak disalahgunakan. Jadi akta ini me­rupakan satu undang-undang yang sangat sesuai untuk menangani masalah tersebut.

“Kita juga minta beberapa bahagian (pada akta ini) diperkukuhkan lagi antaranya dari segi memudahkan proses pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan kesalahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan seminar pelaksanaan perolehan hijau kerajaan PDRM di Hotel Shangri-la di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 memberi jaminan untuk mempertahankan Akta Hasutan 1948 di samping menambah baik akta itu dengan memasukkan dua peruntukan khas iaitu melindungi kesucian Islam manakala agama lain pula tidak dibenar disentuh.

Pada masa sama, Najib berkata, akta itu juga akan diperkuatkan dengan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Dalam pada itu, mengulas kertas putih bagi menangani militan dan kumpulan pengganas rakyat Malaysia yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam, Khalid berkata, pihak­nya mengalu-alukan pelaksanaan langkah tersebut.

Menurutnya, tindakan itu pen­ting memandangkan pada masa ini Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus bagi menangani aktiviti keganasan dan militan.

Ini kerana, kata beliau, sudah sampai masanya satu akta khusus dirangka untuk menangani masalah keganasan contohnya ketika berhadapan dengan rakyat yang pergi ke negara lain untuk berjuang.

“Jadi, bagaimana kita hendak berhadapan dengan kumpulan ini sekiranya tiada undang-undang untuk mendakwa mereka.

“Kita memerlukan undang-undang untuk memberikan lebih kuasa bertindak kerana Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) lebih menjurus kepada aktiviti jenayah bukan aktiviti keganasan,” katanya.

Oleh itu tambah Khalid, undang-undang seumpama itu perlu diwujudkan segera bagi berhadapan dengan perangkap yang bakal digunakan oleh pengganas terbabit bertujuan mengancam ke­selamatan negara.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/polis-minta-akta-hasutan-ditambah-baik-1.30148#sthash.9x4KTmFn.dpuf


No comments: