17 November 2014 1:22 AM
LONDON – Wayne Rooney meraikan penampilan ke-100 bersama England dengan menjaringkan gol untuk membantu Three Lions menumpaskan Slovenia 3-1 dalam aksi kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2016 semalam.
Penyerang Arsenal, Danny Welbeck turut memainkan peranan besar di Wembley apabila meledak dua gol, sekali gus membantu skuad bimbingan Roy Hodgson itu kekal mendahului Kumpulan E selepas memenangi semua empat perlawanan setakat ini.
Jaringan Rooney di Wembley juga membolehkan kapten Three Lions dan Manchester United itu menyamai rekod 44 gol milik Jimmy Greaves selaku penjaring ketiga terbanyak England sepanjang zaman.
Namun, pemain berusia 29 tahun itu dipisahkan dengan lima gol untuk menyamai rekod 49 gol yang dipegang Bobby Charlton.
England kini selesa menerajui Kumpulan E meninggalkan tiga pencabar rapat, Slovenia, Switzerland dan Lithuania yang masing-masing berkongsi enam mata.
“Saya amat bangga melangkah ke Wembley sebagai kapten England bersama dua anak lelaki saya. Ia sesuatu yang akan saya kenang sepanjang hidup saya.
“Keadaan agak sukar kerana lawan terlebih dulu mendahului dan kami kena menunjukkan karakter untuk bangkit.
“Bagaimanapun kami mempamer semangat sepasukan yang bagus.
“Sejak Piala Dunia, sudah lama saya tidak lima semangat seperti ini,” ujar Rooney, yang sudah menjaringkan 44 gol buat England setakat ini.
Sebelum perlawanan bermula, Rooney menerima topi emas daripada Charlton sebagai penghormatan kerana membuat penampilan ke-100 buat England.
Namun begitu, tuan rumah tidak bermula baik apabila dikejutkan dengan gol pembukaan Slovenia ekoran kesilapan pemain tengah, Jordan Henderson tertanduk sepakan bebas lawan ke gawang sendiri pada minit ke-57.
Ketinggalan 0-1 tidak mematahkan semangat anak-anak buah Hodgson.
Sebaik saja Rooney berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-57, jaringan Welbeck menyusul pada minit ke-65 dan 72. – AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/rooney-meledak-dalam-penampilan-ke-100-1.25526#sthash.Iv1G7Ans.dpuf
No comments:
Post a Comment