20 November 2014 3:44 AM
SULTAN NAZRIN dan Tuanku Zara Salim menghadiri Prosiding Rujukan Untuk Memperingati Almarhum Sultan Azlan di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Arifin Zakaria (kanan). – UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 19 Nov. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melahirkan keyakinan bahawa para hakim yang sedang berkhidmat akan meneruskan aspirasi ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah untuk menegakkan sistem kehakiman yang bebas tanpa dipengaruhi perasaan takut atau memihak.
Sultan Nazrin bertitah, baginda optimis para pegawai kehakiman di bawah pimpinan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan terus mendukung hasrat murni Almarhum selaras dengan sumpah yang mereka meterai ketika dilantik sebagai hakim.
“Kecintaan Almarhum yang mendalam dalam bidang undang-undang diteruskan walaupun selepas baginda bersara sebagai Ketua Hakim Negara dan ini dilakukan dengan memainkan peranan pada persidangan Majlis Raja-Raja,’’ titah Sultan Nazrin di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman di sini hari ini.
Baginda menyampaikan titah khas pada Prosiding Rujukan Untuk Memperingati Almarhum Sultan Azlan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara serta dihadiri oleh kaum kerabat baginda, dan orang-orang kenamaan.
Pada prosiding itu, Arifin turut bersidang bersama baginda; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.
Sultan Nazrin selanjutnya bertitah, minat Almarhum dalam kebebasan kehakiman mencatat kenangan dalam minda bukan sahaja ahli keluarga malah sesiapa sahaja yang mengenali baginda.
Titah Sultan Perak, mahkamah merupakan rumah pertama Almarhum dan meskipun baginda biasa membawa pulang kerjanya, sesiapa pun tidak dibenarkan mencampuri urusannya ketika menyudahkan penghakiman bertulis yang kadangkala berlanjutan sehingga dinihari.
Sultan Nazrin selanjutnya berkongsi dengan hadirin pandangannya mengenai etika Almarhum yang disifatkan sebagai tidak bertolak ansur sewaktu membezakan antara yang baik dan yang buruk.
Dalam titahnya, Sultan Nazrin selanjutnya melahirkan penghargaan dan rasa terharu terhadap usaha pihak mahkamah mengadakan majlis tersebut demi memperingati jasa bakti dan sumbangan Almarhum dalam dunia kehakiman dan perundangan.
“Jemputan daripada Ketua Hakim Negara untuk bertitah sepatah dua kata pada majlis istimewa seperti ini merupakan satu penghormatan yang sangat dialu-alukan oleh beta dan bonda Tuanku Bainun serta kaum kerabat secara keseluruhannya.
“Beta dan Permaisuri dengan rasa rendah diri sangat berbesar hati diberi penghormatan untuk duduk di kerusi hakim Mahkamah Persekutuan dan berpeluang merasai walau sedetik pengalaman Almarhum selama bertahun-tahun ketika berkhidmat, dan pengalaman ini sesungguhnya sesuatu yang amat menimbulkan nostalgia,” titah baginda.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-nazrin-yakin-hakim-teruskan-aspirasi-almarhum-sultan-azlan-1.26915#sthash.t98U9TEx.dpuf
No comments:
Post a Comment