27 November 2014 2:12 AM
KHAIRY JAMALUDDIN semasa menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda dalam Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ZAINI HUSIN
KUALA LUMPUR 26 Nov. - UMNO perlu memberi lebih peluang kepada pemimpin muda termasuk mengangkat mereka menjadi calon dalam pilihan raya untuk memastikan parti terbesar orang Melayu itu memiliki faktor ‘wow’ dan sekali gus menarik sokongan golongan berkenaan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, mengangkat pemimpin muda adalah sebahagaian daripada proses peremajaan yang dituntut dalam parti dan UMNO tidak boleh tertinggal dalam aspek berkenaan ketika parti pembangkang sudah mengorak langkah tersebut.
Katanya, sebab itu sekarang ini ramai anak muda yang mewakili parti pembangkang menghiasi baik Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Dewan Rakyat kerana pakatan memberi peluang lebih luas dengan melantik mereka sebagai calon walaupun baru setahun jagung menjadi ahli parti.
“Kalau belah lawan begitu rentaknya, mana faktor ‘wow’ kita? Tak cukupkah cerdik pandai, pemidato hebat, pendebat ulung di kalangan orang muda dalam UMNO untuk diangkat atau kita masih lagi melihat orang muda sebagai budak suruhan penaik bendera, mengusung pengundi.
“50 tahun dulu mungkin, tapi dunia dan perabadan kini sudah jauh berubah. Kalau kita tak berubah, alamatnya kita akan ‘diubah’ dengan kuasa peti undi orang muda,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di sini hari ini.
Menurut Khairy, gesaan supaya lebih ramai pemimpin muda berumur bawah 40 tahun diangkat sebagai calon selain diserap ke dalam barisan Kabinet bukan bererti Pemuda UMNO tamak mengejar kedudukan, sebaliknya sesuai dengan peralihan generasi serta anjakan demografi politik.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menjelaskan, perlu ada keseimbangan antara gandingan pemimpin berpengalaman dengan orang muda demi kegemilangan bangsa agar lebih banyak suara-suara golongan muda kedengaran di segenap ceruk kepemimpinan negara.
“Perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan. Tunggu apa lagi kongsilah kemudi itu dengan kami orang muda. Segerakan gandingan orang berpengalaman dengan anak muda untuk menentukan kegemilangan bangsa,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/angkat-ramai-pemimpin-muda-1.29720#sthash.aa5wmXVz.dpuf
No comments:
Post a Comment