AHAD, 16 NOVEMBER 2014 @ 12:03 PM
CAPE TOWN: Pemain-pemain skuad kebangsaan Afrika Selatan membuka jersi dan memaparkan baju tanpa kolar putih dengan mesej dedikasi kepada bekas kapten, Senzo Meyiwa sejurus layak ke kejohanan Piala Negara-Negara Afrika 2015, semalam.
Afrika Selatan dengan jolokan Bafana Bafana menewaskan Sudan 2-1 dalam perlawanan yang dijalankan di tempat kelahiran Meyiwa, Durban sebagai penghormatan kepadanya yang terbunuh akibat rompakan.
"Saya hanya berharap dia ada di sini bersama kami," kata penjaga gol baharu Afrika Selatan, Darren Keet yang menggantikan Meyiwa di posisi itu.
"Ia perkara yang paling menghibakan. Dia tidak berada di sini bersama kami dan semuanya berjalan dengan baik," katanya.
Selain itu, pemain-pemain Afrika Selatan turut memakai lilitan hitam di lengan dan bertafakur selama seminit sebelum perlawanan bagi memberi penghormatan kepada Meyiwa.
Afrika Selatan mengesahkan tempat ke kejohanan yang dijadual berlangsung di Equatorial Guinea, awal tahun depan itu menerusi gol daripada Thulani Serero dan Tokelo Rantie pada kedua-dua babak permainan.
Gol tunggal Sudan dijaringkan Salah Ibrahim ketika lewat permainan dalam stadium yang dipenuhi lebih 30,000 peminat.
Meyiwa sebelum ini cemerlang membantu Afrika Selatan dalam empat perlawanan awal kelayakan dengan catatan tanpa kalah.
Dalam pada itu, Cameroon, Zambia, Senegal, Burkina Faso dan Gabon turut mengesahkan tiket untuk beraksi di kejohanan bola sepak terbesar benua Afrika itu bersama tuan rumah, Equatorial Guinea. - AP
PEMINAT pasukan Afrika Selatan memegang gambar bekas penjaga gol, Senzo Meyiwa ketika perlawanan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika menentang Sudan di Durban, semalam. - Foto AFP
No comments:
Post a Comment