ISNIN, 17 NOVEMBER 2014 @ 1:33 PM
KUALA LUMPUR: ASUS memperkenalkan MeMO Pad 7 (ME572CL), tablet tujuh inci dengan sistem operasi Android 4.4 (KitKat) yang dipadankan dengan paparan HD IPS dalam pakej sangat nipis, ringan, bergaya serta tahan lasak.
Tablet baharu itu mempunyai pemproses 64-bit empat teras Intel Atom Z3560, dengan keupayaan hingga 1.83 GHz serta sambungan internet mudah alih 4G LTE. MeMO Pad 7 juga disokong teknologi ASUS ZenUI, pemuka mudah alih eksklusif daripada ASUS.
Inspirasi rekaannya yang berdasarkan dompet serta sebuah beg cekam, menyerlahkan MeMO Pad 7 dengan penampilan anggun yang unik dan apabila digabungkan dengan fungsinya yang pelbagai, tablet ini akan menjadi teman seharian ideal serta pelengkap fesyen.
Dengan tanda harga RM999 seunit, MeMO Pad 7 dipadankan dengan kemasan tekstur lembut di belakang serta warna menarik termasuk Rose Champagne, Gentle Black dan Burgundy Red.
ASUS MeMO Pad 7 bertujuan mempertingkat pengalaman hiburan daripada sebuah tablet. Untuk itu, ia mempunyai paparan Full HD IPS yang dipertingkatkan lagi dengan teknologi ASUS TruVivid untuk imej yang jelas daripada setiap sudut.
Untuk merakam gambar dan video yang jelas serta berkualiti, MeMO Pad 7 dipadankan dengan kamera 5MP di belakang dan kamera auto fokus 2MP di depan serta disokong teknologi PixelMaster.
Menerusi paparan 323 piksel seinci (ppi) MeMO Pad 7 menyerlahkan lebih 2.3 juta piksel untuk menghasilkan gambar dan grafik yang terang dan jelas.
Dalam pada itu, teknologi IPS memberikan sudut paparan lebar 178 darjah dan penghasilan warna yang lebih tepat manakala ASUS TriVivid menambah baik kejelasan dan menjadikan warna lebih terang.
Tablet ini hanya setebal 8.3mm dan seberat 269 gram menjadikan rekaan semula model ini lebih ringan, ergonomik dan selesa dalam genggaman.
ASUS adalah antara tiga pengeluar komputer riba terbesar dunia dengan lebih 12,500 kakitangan termasuk 3,800 jurutera penyelidikan dan pembangunan (R&D). Syarikat memperoleh pendapatan kira-kira AS$14 bilion (RM47 bilion) pada 2013.
No comments:
Post a Comment