Ajak pemimpin, ahli UMNO lantang perjuang Islam
OLEH SOFIAN BAHAROM (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 08 November 2014 2:00 AM
KUALA LUMPUR 7 Nov. - Keberanian Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat mengajak pemimpin dan ahli-ahli parti itu supaya lebih lantang bersuara dalam memperjuangkan agama Islam dan menegakkan undang-undang syariah di negara ini, mendapat pujian bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.
Zainuddin Maidin
Zainuddin menerusi tulisan dalam zamkata.blogspot.com hari ini mengucapkan syabas kepada Khairul Anwar atas ketegasannya menyatakan bahawa ada ketikanya konsep kesederhanaan tidak sesuai digunakan terutama melibatkan perjuangan dalam hal berkaitan agama.
Ini kerana, menurut beliau, kebelakangan ini suara lantang dan berani dalam mempertahankan soal akidah dan maruah bangsa tidak lagi datang daripada UMNO apatah lagi oleh Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin.
Sebaliknya, kata beliau, suara lantang dan berani itu telah diambil tanggungjawabnya oleh pertubuhan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memandangkan UMNO berada dalam keadaan takut jika dianggap sebagai ekstrem atau tidak relevan dengan pentas globalisasi.
“Rupa-rupanya masih ada warisan perjuangan dalam Pemuda UMNO. Kenyataan ini mungkin tidak begitu menarik perhatian dan dibiarkan berlalu begitu sahaja, tetapi sebenarnya inilah suara hati rakyat di peringkat akar umbi terutama ahli-ahli UMNO,” katanya.
Khairul Anwar dalam kenyataannya sebelum ini berkata, pemimpin dan ahli UMNO perlu berubah dan lebih lantang bersuara bagi meyakinkan orang Melayu bahawa UMNO adalah wadah terbaik untuk mempertahankan agama Islam dan generasi masa depan.
Tegas Khairul Anwar, UMNO perlu berjuang habis-habisan dan terus lantang bersuara terutama apabila membabitkan soal akidah dan maruah, malah konsep wasatiy-
yah perlu diungkap dengan makna keseimbangan dan bukan lagi bermaksud sederhana dalam melakukan sesuatu perkara.
Menurut Zainuddin, keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali kerana mengancam untuk ‘membakar’ Bible dalam bahasa Melayu, telah dicabar dengan lantang oleh pihak tertentu bagi menunjukkan tiada keadilan dan kesederhanaan dalam Islam di Malaysia.
“Ketua Pegawai Eksekutif The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai telah tampil ke hadapan menjadi juara dalam hal ini,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/zam-puji-keberanian-khairul-anwar-1.22087#sthash.JoLxq0RD.dpuf
No comments:
Post a Comment