Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 4 November 2014

LIWAT : Shafee sambung hujah pendakwaan, dijangka tamat petang ini

SELASA, 4 NOVEMBER 2014 @ 9:05 AM


KETUA Pendakwa Raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (tengah) tiba di Istana Kehakiman, Putrajaya, dijadual menamatkan hujah balas bagi pendengaran rayuan terakhir kes liwat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini. - Foto Effendy Rashid

PUTRAJAYA: Ketua Pendakwa Raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijadual menamatkan hujah balas bagi pendengaran rayuan terakhir kes liwat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Beliau yang mengetuai pasukan pendakwaan dijangka mengambil masa lebih dua jam untuk menyempurnakan hujahnya bagi menjawab semua keraguan dibangkitkan pasukan peguam bela sebelum ini berhubung kes terbabit.

Beliau seperti dilapor media semalam akan memberi keterangan terperinci beberapa perkara baharu dalam hujahnya termasuk berkaitan dakwaan perlakuan liwat itu diadakan secara "suka sama suka" atau wujud paksaan.

Shafee akan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Pasukan pendakwa raya mengambil masa tiga hari bagi menyempurnakan hujah balasnya sejak Jumaat lalu.


DATUK Seri Anwar Ibrahim ditemani isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada hari keenam rayuan kes liwatnya di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Empat peguam bela juga sebelum ini sudah membahaskan hujah mereka bermula Selasa dan tamat pada Khamis lalu.

Pasukan pembelaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Beliau tiba di Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman di sini, jam 8.20 pagi tadi diiringi beberapa peguam.

Rumusan rayuan kes liwat Ketua Umum PKR itu sama ada ia diputuskan hari ini atau pada satu tarikh lain dijangka dimaklumkan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan petang ini.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Anwar, 67, disabitkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan kerana meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, iaitu bekas pembantu peribadinya di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Pada 24 April, Anwar memfailkan petisyen rayuan dengan memberi 35 alasan kenapa Mahkamah Persekutuan perlu membebaskan beliau daripada tuduhan meliwat, sejam sebelum berakhir tempoh yang disyaratkan beliau berbuat demikian.

Anwar tiba di bilik bicara 1 mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi tadi dengan beberapa pemimpin pembangkang turut kelihatan antaranya, Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

ANGGOTA polis berkawal di luar Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini, pada hari keenam rayuan terakhir kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Farizul Hafiz Awang


No comments: