Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 14 July 2014

WORLD CUP 2014 - Messi belum taraf legenda


LIONEL Messi (kanan) langsung tidak punya perasaan ketika diberi ucapan tahniah oleh penjaga gol Jerman, Manuel Neuer selepas diumum sebagai Pemain Terbaik Piala Dunia 2014.

KEKALAHAN 0-1 Argentina kepada Jerman pada final Piala Dunia pagi ini, merosakkan impian Lionel Messi untuk menyertai legenda bola sepak dunia seperti Diego Maradona dan Pele dalam senarai pemain terbaik sepanjang zaman.

Biarpun telah merangkul pelbagai kejuaraan bersama kelabnya Barcelona dan memiliki empat gelaran Pemain Terbaik Dunia, namun Messi, yang turut diumum sebagai Pemain Terbaik Piala Dunia 2014 gagal melengkapkan karier dengan kejuaraan paling berprestij di dunia.

Maradona, Pele, Zinedine Zidane dan Ronaldo kesemua mereka pernah menjaringkan gol penting buat pasukan masing-masing dalam final Piala Dunia dan membantu negara mereka merangkul gelaran berprestij itu.

Maradona menjadi watak penting ketika kali terakhir Argentina menjulang Piala Dunia pada 1986, menumpaskan Jerman 3-2 dalam perlawanan akhir.

Pengendali Argentina, Alejandro Sabella bagaimanapun mempertahankan penyerangnya itu dengan menganggap Messi tetap layak dinobat pemain terbaik dunia sekali pun gagal membantu skuad La Albiceleste menjulang kejuaraan dunia.

“Walaupun kami gagal pulang bersama kejuaraan, Lionel Messi sudah pun berada dalam kelompok pemain terbaik sepanjang zaman.

“Saya rasa, dia berhak menerima anugerah Bola Emas (Pemain Terbaik) kerana dia telah beraksi cemerlang sepanjang Piala Dunia," kata Sabella.

Messi, 27, yang telah meledak empat gol di Brazil mungkin tidak dapat melupakan detik keemasan yang gagal disempurnakan apabila percubaannya tersasar ketika hanya berdepan dengan penjaga gol lawan, Manuel Neuer di awal babak kedua.

Pemain gantian, Mario Goetze menjadi pemusnah Argentina untuk sekurang-kurangnya mengheret permainan ke penentuan sepakan penalti apabila meledak gol tunggal kemenangan pasukannya menerusi voli cantik pada minit ke-113.

Walaupun dinobat sebagai penerima Bola Emas dan mencipta empat gol pada Piala Dunia kali ini, namun Messi tidak meledak sebarang jaringan dalam empat perlawanan terakhir.

“Saya sanggup menukar semua koleksi peribadi yang telah diraih untuk menjadi juara Piala Dunia.

“Kejuaraan dunia jauh lebih bermakna daripada Ballon d’Or. Menjuarai Piala Dunia adalah impian setiap pemain bola sepak," ujar Messi.

Pemain tengah, Javier Mascherano pula memohon maaf kepada rakyat Argentina kerana gagal memberi kejuaraan.

“Amat perit untuk menerimanya (kekalahan).

“Kami mahu bawa pulang trofi ke Argentina. Kami berasa hampa. Kami telah beri segala-galanya di atas padang dan kami meminta maaf kepada semua yang menyokong kami.

“Kesakitan ini akan dirasai sepanjang hayat kerana perlawanan ini adalah peluang terbaik kami untuk menjulang Piala Dunia, tetapi kami kini perlu bangkit dan menahan kesakitan tersebut," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140714/sl_11/Messi-belum-taraf-legenda#ixzz37QEFjjPa  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: