Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 7 July 2014

WORLD CUP 2014 - Krul selamatkan Belanda


PEMAIN-pemain Belanda mengerumuni Tim Krul (lima dari kiri) selepas penjaga gol itu berjaya menghalang sepakan penalti Costa Rica buat kali kedua untuk kemenangan pasukannya pada suku akhir Piala Dunia di Salvador semalam. - AFP

BRASILIA - Penjaga gol gantian, Tim Krul muncul hero Belanda selepas skuad Oranje mengetepikan cabaran Costa Rica dalam aksi suku akhir Piala Dunia menerusi penalti penentuan semalam, sekali gus menempah pertemuan dengan Argentina.

Jurulatih Belanda, Louis van Gaal mengejutkan penonton di Stadium Fonte Nova di Salvador apabila membawa masuk Krul untuk menggantikan Jasper Cillessen pada penghujung masa tambahan selepas 120 minit perlawanan berkesudahan dengan keputusan 0-0.

Tindakan van Gaal itu nyata membuahkan hasil selepas penjaga gol Newcastle itu menyelamatkan dua penalti Costa Rica yang diambil oleh Bryan Ruiz dan Michael Umana, sekali gus melayakkan Oranje ke separuh akhir menentang Argentina di Sao Paulo Khamis ini.

Belanda hanya pernah memenangi satu perlawanan menerusi penalti penentuan dalam lima percubaan mereka pada kejohanan-kejohanan besar sebelum ini.

Bagaimanapun pengambil sepakan penalti Belanda, Robin van Persie, Arjen Robben, Wesley Sneijder dan Dirk Kuyt langsung tidak membuat kesilapan untuk menyempurnakan kesemua sepakan itu, menewaskan penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas.

Sejurus tamat perlawanan itu Van Gaal berkata, pertukaran penjaga gol telah dirancang awal dengan menyifatkan Krul mempunyai peluang yang lebih baik dalam penalti penentuan.

"Setiap penjaga gol mempunyai kualiti tertentu dan kami rasakan dia mempunyai peluang yang lebih baik dan rekod cemerlang dalam menyelamatkan penalti. Kami telah membincangkan perkara itu dengan Krul bagaimana Costa Rica akan mengambil penalti mereka dan turutan mereka. Oleh itu dia telah bersiap sedia.

"Nasib baik berkesan kerana sekiranya rancangan itu tidak menjadi sudah pasti saya membuat keputusan yang silap,'' kata van Gaal.

Drama sepakan penalti penentuan bermula selepas perlawanan sengit yang menyaksikan Belanda yang menguasai perlawanan untuk jangka masa panjang gagal menjaringkan gol.

Percubaan-percubaan Sneijder paling hampir menemui gol selepas dua kali sepakannya menggegarkan palang pada permainan masa sebenar dan masa tambahan.

Kemenangan itu menjadikan Oranje mengulangi rekod pertemuan sengit mereka dengan Argentina dalam aksi Piala Dunia selepas pertemuan pada aksi akhir 1978 yang dimenangi pasukan Amerika Selatan itu.

Argentina mara ke separuh akhir buat pertama kali dalam tempoh 24 tahun semalam selepas jaringan tunggal Gonzalo Higuain sudah cukup buat pasukannya menyingkirkan Belgium. - AFP



No comments: