KUALA LUMPUR 20 Feb. - Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua perlu didakwa di bawah Akta Hasutan kerana sengaja melakukan provokasi menghina Islam apabila mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung larangan umat Islam menyambut Hari Kekasih.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, umat Islam tidak perlu menagih permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya itu disebabkan keceluparan ditunjukkan, tetapi perlu mengheretnya ke mahkamah.
"Kita perlu dakwa dia di mahkamah dengan segera sebagai langkah pencegahan kerana sebenarnya dia sedang menguji kesabaran orang Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam beberapa mufti mendesak Tony Pua menarik kembali kenyataannya yang mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung larangan umat Islam menyambut Hari Kekasih seperti dinyatakan melalui laman sosial Facebook baru-baru ini.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Tony Pua tidak berhak mencampuri urusan berkaitan agama Islam sehingga mengundang suasana tidak harmoni di negara ini.
Mengulas lanjut Ismail Mina berkata, kenyataan bersifat provokasi tersebut sengaja dikeluarkan kerana percaya umat Islam tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan lemah akibat perpecahan.
"Muafakat berpendapat Tony Pua sebagai seorang intelek, pemimpin politik, sebenarnya memahami perkara-perkara yang sensitif dalam kumpulan masyarakat dan agama.
"Muafakat berpendapat perkara ini sengaja dicetuskan untuk menimbulkan provokasi," katanya sambil menambah kelemahan orang Melayu sehingga ada dalam kalangan mereka sendiri sanggup menjadi ejen DAP.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengingatkan Tony Pua tidak angkuh dan bongkak hingga berani mencampuri urusan agama Islam.
"Dia sudah lupa asas penubuhan negara ini yang dibina dengan dasar persefahaman dan saling hormat-menghormati. Ingatlah tahap kesabaran orang Melayu ada hadnya," katanya.
Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin, Tony Pua sewajarnya belajar semula asas-asas untuk menghormati orang lain terutama di negara ini yang dihuni oleh berbilang kaum dan agama.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140221/po_07/Tony-Pua-sengaja-cetus-provokasi-hina-Islam-perlu-didakwa#ixzz2tulbfJ4k © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment