PUTRAJAYA 15 Feb. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak lain hanyalah 'Parti Keanwaran' kerana perjuangannya tertumpu kepada kepentingan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli keluarganya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dr. Mahathir berkata, PKR ditubuhkan bukan atas perjuangan ideologi atau kepentingan bangsa dan agama tetapi lebih sebagai jentera untuk merealisasikan cita-cita Ketua Pembangkang itu menjadi Perdana Menteri.
Katanya, penggunaan perkataan 'keadilan' dalam PKR adalah tidak sesuai memandangkan Anwar sendiri tidak berlaku adil apabila cuba mengelak daripada dibicarakan di mahkamah.
''Kalau Anwar adil, pergilah mahkamah dan bukannya lari dari mahkamah sekali lagi. Dia (Anwar) tidak suka dibicarakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Rayuan kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang dijadual didengar pada 12 Februari lalu ditangguhkan atas permohonan pihak pembelaan yang ingin mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah berikutan menolak permohonan Anwar untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira memberi keterangan.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, Anwar turut bertanggungjawab dalam Operasi Lalang kerana pemimpin pembangkang tersebut tidak pernah membantah dalam Kabinet ketika operasi tersebut dilancarkan pada 1987.
''Apa yang Anwar lakukan (semasa Operasi Lalang)? Dia tak komen apa-apa mengenainya dan ini bermakna dia bersetuju dengannya.
''Sebagai anggota dalam Kabinet, Anwar harus ambil tanggungjawab melainkan dia umum letak jawatan pada ketika itu kerana tidak bersetuju (dengan Operasi Lalang).
''Dia bagaimanapun tidak pernah berbuat demikian (letak jawatan), dia bersetuju dengan banyak perkara termasuk yang berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya.
Menurut Dr. Mahathir, Anwar merupakan seorang ahli pidato dan ahli putar belit yang mahir dalam menafikan apa yang pernah dikatakan selain mewujudkan imej sebagai 'orang yang tidak pernah bersalah'.
''Anwar orang yang menggunakan perkataan untuk kepentingan (diri) dan bukan kebenaran. Bunyinya cukup baik sehingga saya pun pernah diyakinkan bahawa dia masuk UMNO kerana perjuangan," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140216/po_04/PKR-Parti-Keanwaran#ixzz2tXvzS8ay © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment