Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
PETALING JAYA - Setelah gagal mencapai kata sepakat dengan jurulatih berprofil tinggi, Phillippe Troussier, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya membuat keputusan menyerahkan skuad Harimau Malaya di bawah pengendalian Ong Kim Swee buat sementara waktu sehingga mereka mendapat jurulatih tetap.
Jurulatih Harimau Muda A itu bakal membawa cabaran Harimau Malaya dalam aksi persahabatan berdepan Filipina pada 1 Mac dan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen.
Walaupun ditakrifkan sebagai jurulatih sementara oleh pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal, tindakan FAM itu seolah-olah mahu melihat sejauh mana kemampuan Kim Swee membawa Harimau Malaya dengan dua perlawanan itu sebagai medan ujian.
Jika berjaya mencapai keputusan memberangsangkan dalam kedua-dua perlawanan itu, Subahan tidak menafikan FAM bersedia untuk memberi peluang lebih besar kepada Kim Swee biarpun mereka masih mengintai khidmat jurulatih lain dalam masa yang sama.
"Seperti mana yang pernah dilaporkan oleh pihak media sebelum ini, memang benar kami gagal mencapai kata sepakat dalam usaha mendapatkan Philippe Troussier," katanya, yang tidak menjelaskan punca kegagalan tersebut.
"Oleh kerana tiada lagi calon lain dalam masa terdekat ini, kami bersepakat melantik Kim Swee untuk menggalas tanggungjawab selaku jurulatih sementara bagi perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 iaitu menentang Yemen di Dubai pada 5 Mac ini.
"Kami akan memberikan peluang kepada Kim Swee untuk mengendalikan pasukan kebangsaan dan kita tengok beberapa bulan ini apa yang terjadi.
"Jika segalanya berjalan dengan baik, mungkin kami akan melantik dia menjadi ketua jurulatih dan FAM sendiri tidak meletakkan had masa untuk membuat keputusan dalam hal ini," katanya lagi dalam sidang akhbar semalam.
Ditanya bilakah FAM akan memuktamadkan isu pelantikan jurulatih Harimau Malaya, Subahan berkata, FAM tidak berada dalam situasi terdesak memandangkan hanya Kejohanan AFF sahaja menjadi aksi penting dalam kalendar bola sepak antarabangsa.
"Pasukan kebangsaan bukan dalam situasi terdesak untuk mendapatkan jurulatih tetap kerana selepas pertemuan dengan Yemen, hanya ada pertemuan persahabatan dengan Singapura dan Kejohanan AFF 2014.
"FAM masih membuka ruang kepada individu-individu yang berminat menjadi jurulatih Harimau Malaya, jika sebelum ini kami menerima kira-kira 42 permohonan, saya yakin jumlah itu akan bertambah," katanya.
Sementara itu, Kim Swee tidak melihat pelantikannya sebagai jurulatih Harimau Malaya itu sebagai satu yang membebankan walaupun dalam masa sama masih memegang tugas mengendalikan Harimau Muda A.
"Buat makluman semua, Liga Australia (National Premier League ) di Queensland, Australia hanya akan bermula pada 8 Mac dan saya boleh mengharapkan kumpulan kejurulatihan Harimau Muda memulakan latihan di sana terlebih dahulu.
"Selepas perlawanan dengan Yemen pada 5 Mac, saya akan terus terbang ke Brisbane, Australia, jadi bukan satu masalah besar," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140204/su_02/Akhirnya-Kim-Swee-latih-Harimau-Malaya#ixzz2sPEk2cOG © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment