Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 10 February 2014

PRK Kajang ibu pilihan raya pakatan pembangkang


Warung Rakyat
Oleh Zulkefli Hamzah
warungrakyat.mingguan@gmail.com




LIM Kit Siang dalam kenyataan terbaharunya ada bertanya, apakah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang akan menjadi pilihan raya paling kotor atau paling bersih dalam sejarah Malaysia? Supremo DAP ini seperti dapat menduga bagaimana PRK DUN Kajang akan berlangsung.

Politikus veteran ini tentu tahu benar setiap kali parti sekutunya, PKR bertanding dalam pilihan raya kecil suasana tenang boleh bertukar menjadi tegang. Penasihat DAP ini pasti arif tentang tangan-tangan ghaib dalam PKR yang berpengalaman mencetuskan suasana seperti itu.

Skrip yang pelik-pelik dan dangkal boleh mereka cipta. Hal-hal yang tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia boleh mereka lakukan. Itu bukan perkara asing lagi. Reputasi mereka dalam hal ini sukar disangkal. Lagi pula pilihan raya kecil kali ini umpama ibu segala pilihan raya kepada pakatan pembangkang. Fakta, temberang, konflik dan personaliti calonnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbaur menjadikan pilihan raya kecil ini sangat rencam dengan hal-hal buruk. Kalau bermula pun dengan langkah buruk bagaimana mungkin mahu mengharapkan hasil yang baik.

PRK ini mengikut strategis DAP, Tony Pua boleh menjadi kubur kepada pakatan. Pilihan raya DUN Kajang menurut pemikir PKR, Faekah Husin dicipta dengan hujah yang dangkal. Pelaksana misi Langkah Kajang, Rafizi Ramli menyatakan beliau memahami jika pengundi Kajang bakal menghukum PKR.

Ulama Pas pula menakrifkan pilihan raya ini sebagai satu pengkhianatan terhadap tahaluf siyasi yang begitu dibangga-banggakan oleh parti yang selalu mengalah dengan ulah Ketua Pembangkang itu.

Latar belakang pilihan raya ini diwarnai dengan perseteruan antara pemuka-pemuka PKR. Azmin Ali, orang nombor dua PKR itu tak habis-habis berbalah dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Walaupun satu parti, boleh duduk dan ketawa dalam satu pentas tetapi masing-masing seperti menyimpan dendam dan amarah.

Selepas Azmin dipecat daripada Ahli Lembaga Pengarah PKNS, kini timbul pula isu pemecatan serta-merta 22 pekerja kontrak PKNS Holdings selain dakwaan rasuah dan kronisme. Lagi-lagi yang jadi mangsa orang biasa. Berikutan konflik politik itu, dua pegawai kanan PKNS ditukarkan serta-merta dan kali ini lebih buruk, kakitangan kontrak yang jadi mangsa perseteruan itu. Azmin suruh Abdul Khalid batalkan pemecatan sedangkan Abdul Khalid kata pemecatan itu menjimatkan PKNS sebanyak RM7 juta.

Seperti selalunya akan ada watak nasi tambah dalam PKR yang sama sekali tidak menunjukkan sesama pemimpin parti boleh bersatu dan bersepakat. Sentiasa ada duri di antara mereka. Kali ini ada watak Faekah dan Ahli Parlimen Kuala Langat yang kebetulan Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani.

Perang terbuka pemuka-pemuka PKR ini sudah di tahap memalukan dan sama sekali tidak melambangkan sebuah parti yang boleh diharapkan mampu mentadbir Putrajaya. Kalau sudah begitu fakta di lapangan, bagaimanakah mungkin mahu mengharapkan PRK di N25 ini paling bersih wahai Kit Siang?

Mungkin sebab itu Kit Siang seperti sudah menyediakan jawapannya. Awal-awal lagi Kit Siang sudah menusukkan jarum halusnya. Kata Kit Siang “tiada siapa akan terkejut jika pilihan raya kecil Kajang berakhir sebagai pilihan raya kecil paling kotor dalam sejarah Malaysia."

Kit Siang mahu menggambarkan betapa bersihnya pakatan pembangkang walhal kongkalikung pilihan raya kecil ini membuktikan sebaliknya. Mungkinkah atas sebab itu juga Kit Siang awal-awal lagi seperti sudah melemparkan segala kekotoran kepada pihak lain?

Berjanji

“Namun cita-cita ini (pilihan raya paling bersih) hanya akan tercapai jika BN memberikan komitmen yang sama dengan sokongan penuh SPR dan polis," kata Kit Siang. Begitukah yang beliau maksudkan iaitu jika pilihan raya bersih gagal dicapai, yang salah ialah BN, SPR atau polis?

Siapakah yang selalu berjanji tapi mungkir? Anwar yang sudah berkubu di Kajang walaupun kempen sebenar hanya dibuka pada 11 Mac akan menggunakan segala cara untuk bukan sahaja memastikan kemenangannya tapi menambah majoriti undi.

Tapi ingatkah lagi bagaimana Anwar berarak di seluruh negara kerana tidak menerima keputusan pilihan raya umum Mei tahun lalu? Ingatkah lagi bagaimana beliau menuduh BN dibantu oleh pengundi Bangladesh tapi kemudian menafikannya setelah gagal memberikan bukti?

Hal-hal di luar tabie ini biasa beliau dan PKR lakukan. Apakah jaminan tiada lagi hal-hal pelik akan dilakukan sedangkan telah tercatat sejarah hitam puak-puak ini memang gemar berbuat songsang?

Putar belit pakatan pembangkang mudah diduga. Hal ini kerana mereka sudah biasa sangat lakukan putar belit. Manipulasi pakatan pembangkang mudah dijangka. Hal ini kerana mereka tidak ada modal lain selain bermanipulasi dan berfantasi.

Mereka tiada track record. Track record yang mereka ada - kecemerlangan pentadbiran Abdul Khalid tetapi itu sudah dimusnahkan. Yang mereka ada di DUN Kajang ini hanya kata-kata, temberang, putar belit dan tentu sekali moral bobrok calon DUN ini.

Mungkin ini yang sebenarnya menjadi kebimbangan Kit Siang. Bagaimana mungkin beliau boleh menjanjikan “pakatan pembangkang komited sepenuhnya untuk menjadikan PRK Kajang sebagai pilihan raya paling bersih dalam sejarah pilihan raya Malaysia" sedangkan sejak awal, yang sebaliknya berlaku.

Inilah susahnya apabila sudah terperangkap dalam lingkaran logika sesat. Dalam menghadapi PRK DUN Kajang ini pakatan pembangkang umpama layang-layang koyak rabak tetapi tetap mahu diterbangkan.

Layang-layang itu kini sedang terhuyung-hayang cuba membelah ruang udara Kajang. Di situ, konflik dan perseteruan lebih besar sedang menunggu.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140209/re_12/PRK-Kajang-ibu-pilihan-raya-pakatan-pembangkang#ixzz2stPVVW2y  © Utusan Melayu (M) Bhd 




No comments: