Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 19 February 2014

Penduduk Shah Alam hanya minta sambungan dua kilometer LRT


Khabar Dari Shah Alam
Oleh Zabry Mohamad Madzlan





SEAWAL pukul 6.15 pagi setiap hari, Sobri Awang Abu, 46, akan keluar dari rumahnya di Seksyen 19 untuk ke pejabat yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, keluar awal tidak menjamin pegawai di sebuah bank pelaburan itu boleh sampai sebelum waktu pejabat yang bermula 8.15 pagi.

Meskipun jarak di antara rumahnya dengan pejabat hanya kira-kira 35 kilometer, dia terpaksa menghabiskan masa hampir dua jam di atas jalan raya berikutan kesesakan lalu lintas.

Bukan sahaja membuang masa, dia juga perlu menanggung kos agak tinggi untuk petrol dan bayaran tol kerana menggunakan beberapa lebuh raya.

Kos pergi-balik untuk tol sahaja hampir mencecah RM10 manakala petrol kira-kira RM12 sehari. Bukan dia tidak mahu menggunakan pengangkutan awam tetapi kemudahan tersebut tidak banyak dan kurang efisien.

Tidak hairanlah apabila UMNO Bahagian Shah Alam mencadangkan supaya dibina laluan transit aliran ringan (LRT) antara Glenmarie dan Seksyen 7 baru-baru ini, Sobri amat mengalu-alukannya.

Dia merupakan antara sejuta penduduk Shah Alam atau dikenali juga sebagai Bandaraya Anggerik yang amat berharap cadangan tersebut dapat direalisasikan.

Bagi Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George, adalah tidak masuk akal apabila pembinaan trek LRT 3 dari Kelana Jaya (berdasarkan Pelan Induk Pengangkutan Awam Kuala Lumpur/Lembah Klang) menuju Putra Heights hanya melalui Subang Jaya (berhampiran Glenmarie), bukan sehingga ke pusat bandar Shah Alam.

Ini kerana jelasnya, Shah Alam merupakan ibu negeri Selangor yang menjadi nadi pentadbiran dan pembangunan.

"Kemudahan LRT sepatutnya digalakkan penggunaannya di Shah Alam. Kalau boleh sambung hingga ke Klang," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pandangan beliau itu ada kebenarannya.

Penduduk Shah Alam seolah-olah terperangkap di tengah-tengah antara Kuala Lumpur dan Klang.

Untuk menuju keluar dari Shah Alam ternyata satu ‘azab’ buat mereka berikutan kesesakan lalu lintas teruk selain kos tol yang perlu dibayar.

Menurut Jacob George, cadangan berkenaan tidak seharusnya dilihat dari sudut politik tetapi lebih kepada konsep mesra rakyat.

Di Shah Alam juga katanya, banyak institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Selangor, Management and Science University (MSU), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) dan pastinya kemudahan LRT akan membolehkan bandar raya tersebut menjadi hab pendidikan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari dalam sidang akhbar di pejabatnya baru-baru ini memberitahu, apabila siap trek LRT 3 nanti, pihak terbabit hanya perlu menyambung laluan baharu dari stesen di Subang Jaya ke Shah Alam.

Katanya, langkah berkenaan adalah lebih sesuai memandangkan jarak di antara stesen itu dengan bandar raya ini hanya kira-kira dua kilometer.

Beliau menambah, memorandum mengenai cadangan pembinaan LRT itu turut diserahkan kepada Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Inilah masa yang sesuai dalam usaha kerajaan Pusat mahu membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat. Lagipun, inilah isu yang diperjuangkan oleh penduduk Shah Alam selama ini," ujarnya.

Shah Alam kini semakin padat, ditambah dengan projek pembangunan perumahan dan komersial pada masa hadapan.

Keadaan sebegitu sudah tentu akan menambah jumlah kenderaan milik persendirian, seterusnya mengakibatkan kesesakan jalan raya lebih serius.

Dengan adanya sistem LRT jelas Azhari, penduduk bandar raya ini dapat berulang-alik ke bandar-bandar lain dengan lebih mudah, cepat dan murah.

"Dengan wujudnya jaringan LRT, projek pembangunan berasaskan pengangkutan bagi perumahan mampu milik juga boleh dilaksanakan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140219/re_06/Penduduk-Shah-Alam-hanya-minta-sambungan-dua-kilometer-LRT#ixzz2tjwQmNeu  © Utusan Melayu (M) Bhd




No comments: