Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 25 February 2014

Kim Swee terpaksa lupakan Azamuddin


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my




Ahmad Fakri Saarani (depan) mungkin menerajui bahagian serangan skuad Harimau Malaya bersama-sama Safee Sali dalam pertemuan dengan Filipina pada Sabtu ini.

PETALING JAYA - Selepas ketiadaan Norshahrul Idlan Talaha yang terpaksa diketepikan atas masalah peribadi, kini jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menerima tamparan baru apabila mungkin terpaksa melupakan khidmat pemain Pahang, Azamuddin Mohd. Akil.

Azamuddin atau lebih mesra dengan nama panggilan Alex masih belum pulih daripada kecederaan yang melanda kaki kanannya dan Kim Swee tidak meletakkan harapan terlalu tinggi buat pemain yang berasal dari Kuala Lipis itu untuk menyertai skuadnya yang akan menentang Filipina, Sabtu ini.

Perlawanan dengan skuad negara jiran itu adalah aksi pemanas badan sebelum Harimau Malaya menentang Yemen dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015 pada 5 Mac.

Malah, jurulatih berusia 43 tahun itu tidak bercadang membawa sebarang muka baharu dan yakin dengan baki 23 pemain sedia ada bagi menggalas cabaran Harimau Malaya dalam usaha mendapatkan kemenangan cukup penting ke atas Yemen.

"Saya telah memantau perkembangan Alex pada hari ini dan mendapatkan laporan daripada pakar fisioterapi, sampai hari ini dia masih tidak menjalani latihan dan kita pantau keadaannya sehingga esok (hari ini). Jika mash tiada tanda akan sembuh, saya mungkin terpaksa melupakan khidmatnya.

"Tiada sesiapa lagi yang saya akan panggil dalam masa terdekat ini kerana tinggal beberapa hari sahaja lagi dan saya masih ada beberapa pilihan pemain untuk mengisi sayap kanan, kemungkinan saya akan beri ruang kepada Baddrol Bakhtiar atau Fakri Saarani," katanya, semalam.

Situasi yang melanda kem kebangsaan itu bermakna Kim Swee semakin kekurangan pilihan untuk mengisi jentera serangan dengan hanya Safee Sali, Amri Yahyah dan Bobby Gonzales dapat dipertaruhkan selain Baddrol dan Fakri.

Semalam skuad Harimau Malaya menjalani ujian ‘yo-yo’ bagi menilai tahap kecergasan mereka di Institut Sukan Negara (ISN) dan Kim Swee mengakui berpuas hati dengan tahap stamina setiap pemain.

"Kecergasan mereka rata-rata berada di tahap memuaskan cuma ada beberapa pemain seperti Mohd. Aidil Zafuan (Abd. Razak) kurang cergas kerana sudah lama tidak bermain tetapi saya tidak nampak itu sebagai satu isu besar.

"Menjelang hari perlawanan, saya rasa semua pemain akan berada di tahap bersedia dan diharapkan tiada lagi masalah kecederaan baru yang akan timbul," katanya.

Pemain yang akan menyertai Piala AFC telah dilepaskan kembali ke pasukan masing-masing semalam dengan para pemain Selangor akan kembali melapor diri pada 26 Februari sementara pemain-pemain Kelantan sehari kemudian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140225/su_01/Kim-Swee-terpaksa-lupakan-Azamuddin#ixzz2uIYwGAi0  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: