Khabar Dari Alor Setar
Oleh Jamilah Abdullah
MALAM kelmarin bertempat di Stadium Darulaman Alor Setar berlangsung Malam Mahabbatur Rasul Kedah Berselawat dengan kehadiran kira-kira 40,000 umat Islam dari seluruh pelosok negeri ini untuk menzahirkan kecintaan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.
Majlis dihiasi dengan alunan qasidah dan selawat diketuai tokoh qasidah terkenal Indonesia, Habib Syech As Seggaf usai perarakan peserta pada lewat petang yang diketuai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Tazkirah ulama yang hadir pada majlis ilmu tersebut sangat berharga kepada mereka yang hadir dan begitu juga lantunan qasidah dan selawat yang bergema menjadi pengisian yang sangat bermakna.
Pun begitu di sebalik niat kerajaan negeri Kedah memperbanyakkan usaha dakwah dan tarbiah kepada masyarakat Islam di negeri ini seperti program tersebut masih ada suara-suara sumbang dalam kalangan pemimpin pembangkang menuduhnya sekadar percaturan politik demi meraih sokongan rakyat.
Tanpa segan-silu, ada yang sanggup menggelar Mukhriz dengan pelbagai nama dan apa yang menyedihkan adalah kenyataan seumpama itu keluar dari mulut pemimpin yang mengakui Islam sebagai teras perjuangan parti mereka.
Barangkali parti pembangkang hari ini semakin tercabar kerana pelbagai langkah yang sebahagiannya menjadi dasar kerajaan negeri dalam mempertahankan Islam dan umatnya semakin mendapat tempat di hati rakyat termasuk daripada parti lawan.
Apatah lagi, pentadbiran Mukhriz dilihat konsisten dalam memastikan kesejahteraan Islam di negeri ini sekali gus dilihat menggerunkan terutama sekali apabila beliau mampu melaksanakan dasar yang tidak mampu dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah pemerintahan sebelum ini.
Sebagai contoh, pewartaan fatwa anti Syiah yang kelak penggubalan enakmen di bawahnya dan ketegasan kerajaan negeri terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama-agama lain dalam kitab mereka, memperlihatkan kesungguhan Mukhriz dalam menjaga kesejahteraan Islam di negeri ini.
Mukhriz juga berani mengambil langkah mengasingkan pendapatan negeri daripada sumber yang patuh syariah dan tidak patuh syariah bagi perbelanjaan yang melibatkan umat Islam iaitu sesuatu yang julung-julung kali diadakan.
Siapa yang dapat menjangka seorang pemimpin yang dilihat sering tampil dengan imej korporat sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum ini mempunyai sisi lain sebagai seorang pemimpin yang tegar dalam menegakkan syiar Islam.
Nah, ini sebenarnya realiti kepimpinan Mukhriz yang digeruni pemimpin pembangkang negeri ini sekali gus cuba diserongkan dengan pelbagai tohmahan walaupun ketika beliau cuba mengusahakan pelbagai langkah ke arah meningkatkan kerohanian umat Islam negeri ini.
Berbalik kepada program malam tadi, selain bagi memupuk penghayatan dan kasih sayang terhadap Rasulullah SAW, majlis seumpama ini seharusnya dilihat sebagai medan penyatuan seluruh umat Islam dan tidak sewajarnya 'diserongkan' hanya kerana penganjurannya diterajui oleh kerajaan negeri yang kini ditadbir oleh UMNO-BN.
Kebanyakan penduduk negeri ini sebenarnya cukup bersyukur dan gembira dengan penganjuran acara seumpama itu yang memberi peluang kepada mereka beribadah dan menyatakan kecintaan kepada Rasulullah.
Semua memahami bahawa Islam memberi ganjaran yang lumayan kepada orang yang banyak berselawat ke atas Rasulullah seperti firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab: 56)
Mukhriz sendiri menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan program Kedah Berselawat sebagai acara tahunan dan niat murni beliau wajar disahut semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
Mudah-mudahan, pada ketika pemimpin pembangkang di negeri ini 'bekerja keras' meletakkan pantang-larang pada pentadbiran Mukhriz, beliau tidak melatah dengan membalas perbuatan serong tersebut sebaliknya meneruskan sahaja usahanya kerana akhirnya, rakyat yang akan menilai keikhlasan beliau itu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140211/re_02/Imej-Mukhriz-yang-makin-digeruni#ixzz2t4I3nsDD © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment