Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 24 February 2014

Bahasa ‘perpaduan’ tak dipedulikan lagi


Oleh Azman Anuar
azman.anuar@utusan.com.my




TULISAN saya tentang nama Melayu, orang Melayu bandar dan penghinaan terhadap Melayu dan Islam mendapat reaksi pembaca termasuk bukan Melayu. Terima kasih yang menyokong dan yang menghentam.

Tujuan utama topik itu dibangkitkan bukan untuk mengkritik sesiapa tetapi untuk mengingatkan. Perpaduan antara kaum hari ini semakin terhakis dan tergugat akibat permainan sentimen yang mempertikaikan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dulu tak ada siapa yang terang-terang berani mempersoal dan menghina kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam dan kedudukan Raja-raja yang sepatutnya bukan Melayu pun mesti menghormatinya. Sekarang semua sudah berubah dan berbeza.

Tiada tujuan tulisan saya mahu kaum-kaum di Malaysia berpecah-belah. Saya hanya ingin mengingatkan yang perpaduan kaum di negara ini semakin longgar. Punca utama kerana sudah kurang atau hilang rasa tolak ansur. Kadang kala terfikir, sampai bila kita hendak bertolak ansur kalau sebelah pihak sahaja yang bersikap demikian.

Percaya atau tidak kalau dikatakan generasi muda kaum bukan Melayu banyak yang tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu dengan betul. Jawapannya tidak pelik - sebab generasi tua kaum itu pun ada yang masih tidak tahu berbahasa kebangsaan.

Tapi penguasaan bahasa Melayu oleh kaum itu di kawasan kampung lebih baik. Malah kita rasa bangga kerana mereka berusaha bertutur dalam bahasa Melayu dengan betul. Hal ini jauh berbeza kalau kita mendengar pelat kaum itu bila berbahasa Melayu di kawasan pekan dan bandar.

Salah satu faktor keadaan ini berlaku hingga sekarang sebab mereka kurang bergaul dengan orang Melayu dan ia tidak jadi keutamaan. Bagi mereka, guna bahasa pasar pun orang Melayu boleh faham.

Kalau begini situasinya bermakna pekerja Bangladesh dan Pakistan lebih baik tutur kata bahasa Melayunya daripada kaum itu.

Tidak adil jika kaum itu sahaja dikatakan tidak tahu berbahasa Melayu, kaum satu lagi pun hampir sama. Jika dibandingkan dengan keturunan kaum bukan bumiputera, kaum satu lagi lebih ramai bermastautin dan menetap di Asia Tenggara ini. Tetapi kaum itu di Malaysia, tidak sama sikap dan semangat kenegaraannya seperti bangsa mereka yang bermastautin di Vietnam, Kemboja, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Melalui asimilasi, kaum itu di negara jiran kita boleh berbahasa tempatan dengan fasih. Kadang kala kita jadi tidak percaya mendengar dan melihat bahawa mereka bertutur bahasa tempatan tanpa rasa kekok.

Contoh terdekat ialah kaum itu di Indonesia yang tanpa segan silu bertutur bahasa Indonesia sesama kaum mereka, apatah lagi berbual dengan rakyat Indonesia lain. Bukan sahaja di negara mereka sendiri tetapi kalau datang ke Malaysia pun, bahasa itu juga yang mereka tuturkan.

Begitu juga rakyat keturunan kaum itu di negara jiran lain yang benar-benar menghayati semangat kenegaraan - ‘di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung.’ Mereka patuh kepada ‘kedaulatan’ bahasa negara masing-masing.

Cemburu kian bertambah bila melihat keadaan ini dengan mata sendiri. Kaum bukan pribumi di sana begitu akur dan setia mendaulatkan bahasa kebangsaan masing-masing.

Di Malaysia keadaan sebaliknya yang berlaku. Sekarang seolah-olah begitu kuat sikap tidak peduli kepada bahasa kebangsaan. Hal ini mungkin disedari dan mungkin kita pun tidak sedar. Lihat fenomena ini dalam sektor awam mahupun swasta.

Bila difikir dan direnung dengan mendalam, fenomena itu terjadi kerana di negara jiran hanya mempunyai satu sistem sekolah. Di sana tiada sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantara.

Anak-anak berbilang kaum diajar menggunakan satu bahasa, belajar di bawah satu bumbung, bermain dalam satu kawasan sekolah. Bila masuk universiti, tak rasa kekok bergaul. Jadi tidak timbul masalah penggunaan bahasa pertuturan berlainan, tiada masalah perbezaan budaya yang ketara. Oleh itu perpaduan antara pribumi dengan bukan pribumi bertambah erat dan kuat ikatan kenegaraannya.

Kepura-puraan

Inilah formula yang tiada di negara kita. Daripada peringkat sekolah, anak-anak kita dipisahkan oleh sistem sekolah mengikut kaum. Budak Melayu dan bumiputera ke sekolah kebangsaan, budak Cina ke SJKC dan India ke SJKT.

Sejak kecil mereka sudah dipisahkan mengikut aliran bahasa ibunda masing-masing. Kita ada sekolah kebangsaan yang diharap menjadi tempat untuk semua anak tanpa mengira kaum dapat bergaul dan belajar bersama-sama. Anak Cina dan India bukan banyak pun, tetapi atas fahaman perkauman yang kuat maka penyatuan dan perpaduan antara kaum tidak dapat kita jayakan walaupun melalui sekolah.

Kalau hanya ada satu sistem sekolah kebangsaan yang digunakan, mungkin masalah perkauman sekarang tidak terjadi. Melalui satu bahasa, semua orang boleh saling memahami. Kesan sistem pelbagai jenis sekolah ini sudah menampakkan kesannya. Kira-kira enam dekad kita sudah mengguna pakai sistem sekolah pelbagai aliran bahasa ini, saya tidak nampak sistem ini membantu pembinaan satu masyarakat yang bersatu padu dalam erti kata sebenar.

Selama ini kita hanya berpura-pura kerana ingin menjaga hati dan perasaan antara kaum. Sikap berpura-pura ini akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang. Hakikatnya kita perlu teruskan hidup dalam ‘kepura-puraan’ dan percaya perpaduan antara kaum kita masih utuh seperti dahulu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140223/re_14/Bahasa-perpaduan-tak-dipedulikan-lagi#ixzz2uCQMOVR5  © Utusan Melayu (M) Bhd


 KOMEN : BILA ADA PEMIMPIN MELAYU YANG SANGGUP MENGELUARKAN AYAT " SELAGI ADA BULAN DAN BINTANG SEKOLAH VERNAKULAR TIDAK AKAN DIHAPUSKAN. APA CERITANYA...?

No comments: