Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 21 February 2014

Jangan rendahkan martabat al-Quran


Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR





TREND sumpah secara terbuka dikhuatiri menjadi budaya dalam amalan masyarakat Melayu di negara ini. - Gambar hiasan

BELUM lagi selesai kontroversi pengakuan sumpah menggunakan al-Quran membabitkan pemimpin parti politik, negara sekali lagi dikejutkan dengan kejadian sama apabila kitab suci umat Islam dijadikan bahan penyelesaian kes membabitkan ahli sukan.

Malangnya, isu yang dilihat boleh diselesaikan menggunakan pelbagai kaedah rundingan dan perundangan itu, sebaliknya diatasi dengan jalan mudah setelah gagal membuktikan pertuduhan dan perselisihan yang berlaku.

Justeru, berlakulah upacara angkat sumpah di hadapan al-Quran dan mendapat liputan secara langsung di media walaupun umum tidak mengetahui tujuan di sebalik lafaz sumpah tersebut.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: (Nabi) Isa ibni Maryam melihat seorang lelaki mencuri, lalu dia berkata kepadanya: Apakah kamu mencuri? Lelaki itu menjawab: Tidak! Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia! Maka Isa berkata: Aku beriman kepada Allah dan aku mendustakan mataku. (riwayat Bukhari) Hadis di atas menjelaskan kebesaran kedudukan sumpah dan jika bertembung antara sumpah dengan sesuatu yang lain, maka yang lebih utama ialah sumpah.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, walaupun sumpah terdapat di dalam Islam, namun ia merupakan langkah terakhir yang boleh diambil selepas menemui jalan buntu untuk menyelesaikan sesuatu kes.

Katanya, ini sebagaimana dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Maidah ayat 89 maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.

"Sumpah memang ada disebutkan di dalam Islam. Namun ia diharuskan selepas tiada jalan penyelesaian lain boleh diambil untuk menyelesaikan perkara tersebut sehingga boleh memberi darurat kepada seseorang jika tidak bersumpah.

"Manakala orang yang bersumpah perlu bertanggungjawab dan menanggung sebarang risiko dengan apa yang disumpahkan kerana dia telah meletakkan Allah SWT dalam pengakuan yang dibuat.

"Sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Anas bin Malik yang bermaksud: Suatu ketika Rasulullah ditanya tentang dosa besar, baginda menjawab: Yang termasuk dosa besar ialah menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, menamatkan nyawa orang lain bukan dalam hal yang dibenarkan agama dan sumpah palsu. (riwayat Bukhari)," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Abdul Halim yang juga bekas mufti Terengganu berkata, al-Quran yang merupakan kata-kata Allah SWT dan mukjizat kepada umat Islam seharusnya dihormati dengan meletakkan kedudukannya di tempat yang mulia.

"al-Quran merupakan mukjizat terbesar bagi umat Islam. Bukti keagungannya sehingga kita perlu mengambil wuduk dan suci daripada hadas sebelum menyentuhnya.

"Justeru, menggunakan al-Quran dalam perkara remeh dilihat umpama menghina kedudukan al-Quran yang terkandung di dalamnya kalam (kata-kata) Allah SWT. Ia sekali gus menunjukkan imej Islam yang rendah menurut pandangan masyarakat lain," katanya mengulas senario sumpah yang sering dijadikan alat mempertahankan diri.

Menghina agama

Tambah Abdul Halim, budaya sumpah yang dilakukan oleh umat Islam dibimbangi disalah erti sehingga mampu menjatuhkan kedaulatan institusi agama Islam.

Ini katanya, apabila ajaran agama Islam disalahgunakan oleh umat Islam dengan melibatkan nama Allah SWT dan al-Quran sewenang-wenangnya dalam segala urusan harian manusia.

Beliau berkata, bukan sahaja merendahkan imej agama Islam dan martabat al-Quran, malah tindakan itu turut boleh memperlekehkan keagungan tuhan iaitu Allah SWT.

"Pelbagai serangan memburuk-burukkan Islam sentiasa dirancang seperti dalam bentuk penghinaan dan mempersendakan agama dengan menjadikan Rasul dan juga al-Quran sebagai sasaran semata-mata bertujuan untuk menjatuhkan kedaulatan Islam.

"Namun, perkara ini bersifat zahir iaitu boleh dilihat dan didengari untuk diambil tindakan. Namun, apa yang lebih membahayakan adalah penyalahgunaan ajaran agama Islam oleh umat Islam sendiri.

"Sebagai contoh menggunakan al-Quran sebagai saksi untuk bersumpah walaupun dalam perkara remeh. Ini secara tidak kita sedari hakikatnya telah merendahkan martabat keagungan kitab al-Quran tersebut setaraf dengan perkara remeh tersebut," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140220/ba_01/Jangan-rendahkan-martabat-al-Quran#ixzz2turLAkKW  © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments: