Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 12 February 2014

Hudud: Perlu timbang pelbagai faktor








Abdul Hamid

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Cadangan melaksanakan hukum hudud di negara ini perlu mengambil kira pelbagai faktor khususnya membabitkan soal penguatkuasaan antara orang Islam dan bukan Islam.

Pandangan itu disuarakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang menegaskan, pelaksanaan hukum berkenaan juga perlu kepada pertimbangan terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung pembahagian bidang kuasa di antara Persekutuan dan negeri.

Menurutnya, berdasarkan Senarai I, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, ‘undang-undang jenayah’ terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan dan mahkamah sivil manakala ‘kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam’ seperti dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan adalah di bawah kuasa kerajaan negeri serta mahkamah syariah.

"Kita lihat pula kepada kesalahan-kesalahan tersebut, didapati di antaranya ada kesalahan-kesalahan yang telah wujud dalam Kanun Keseksaan sejak 1936 dan berkuatkuasa ketika Perlembagaan Persekutuan digubal. Contohnya, kesalahan menyebabkan kematian atau kecederaan kepada orang lain, mencuri, merompak dan merogol,

"Sebaliknya, antara kesalahan itu ada yang tidak terdapat dalam Kanun Keseksaan, malah telah diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri. Contohnya, persetubuhan luar nikah, menuduh seseorang berzina dan berkaitan minuman memabukkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan awam bertajuk ‘Pelaksanaan Hudud Di Brunei: 

Perbezaan Di Antara Brunei dan Malaysia’ di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, jika hukuman-hukuman hudud dan qisas hendak dikenakan bagi kesalahan jenayah Persekutuan, perkara itu hanya boleh dilakukan sebagai undang-undang Persekutuan, iaitu undang-undang jenayah dan bukan ‘kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam’ seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II.

"Perlu ditekankan, undang-undang jenayah Persekutuan itu mestilah terpakai kepada semua orang Islam dan bukan Islam kerana ini merupakan undang-undang jenayah dan bukannya undang-undang peribadi dan kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam.

"Jika hanya terpakai kepada orang Islam sahaja, ini bercanggah dengan peruntukan Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan kerana itu ialah satu diskriminasi atas alasan agama," ujarnya.

Beliau turut melontarkan persoalan berikut: "Adilkah jika seseorang Islam mencuri harta seorang bukan Islam, dia dikenakan hudud manakala seorang bukan Islam mencuri harta orang Islam, dia hanya dikenakan penjara atau denda".

Atas dasar itu jelasnya, dalam undang-undang yang dibuat di Brunei, kesalahan-kesalahan menyebabkan kematian atau kecederaan terhadap orang lain, mencuri dan menyamun terpakai kepada semua.

"Seperkara lagi, sekurang-kurangnya terdapat satu kesalahan yang tidak boleh diperuntukkan baik di dalam undang-undang Persekutuan mahupun undang-undang negeri kerana akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan kesalahan itu ialah murtad. Dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 (Brunei), kesalahan itu membawa hukuman mati.

"Di negara ini, peruntukan seperti itu bercanggah dengan peruntukan Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan. Brunei tiada halangan perlembagaan untuk memperuntukkan kesalahan itu kerana tiada peruntukan seperti Perkara 11. Malah jika ada pun, ia boleh dipinda oleh sultan," katanya.

Jelasnya, di Brunei, pelaksanaan hudud bukan dilakukan kerana kelangsungan politik atau untuk memenangi pilihan raya dan kerja-kerja ke arahnya telah berjalan kira-kira 30 tahun dan masih belum selesai.

Pada 22 Oktober lalu, Brunei mewartakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 dengan tujuan melaksanakan hudud dan qisas namun perintah itu dikuatkuasakan secara berperingkat, bermula dengan kesalahan takzir yang dijadualkan dalam April ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140212/dn_02/Hudud-Perlu-timbang-pelbagai-faktor#ixzz2t4WtHRYd  © Utusan Melayu (M) Bhd




1 comment:

Muslim said...

Perundangan Islam wajib ke atas pemerintah, dan bila pemerintah berhasrat melaksanakannya wajib kita menyokongnya.
Tidak melaksanakan perintah Allah swt itu satu kezaliman, jika berusaha berikhtiar ke arah pelaksanaannya, mudah mudahan kita dapat pengampunan. Bila tiada usaha dan diabaikan begitu sahaja, mk itu satu kefasikan. Bila menolak dan sengaja enggan melaksanakan bahkan menentang pula usaha usaha pelaksanaannya, mk itu satu kekufuran. Moga kita terjauh dr kemurkaan Allah swt.