Perluas sistem sekolah vernakular - NGO
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu mencadangkan supaya penubuhan sekolah vernakular diperluaskan kepada kaum dan etnik lain seperti dilaksanakan kepada kaum Cina dan India di negara ini selaras dengan matlamat konsep 1Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Media Malaysia, Dzulkarnain Taib berkata, sistem sekolah vernakular perlu diperluaskan merangkumi semua suku-suku kaum termasuk Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak serta kumpulan minoriti lain bagi mencapai perpaduan nasional yang lebih baik.
Katanya, ini kerana usaha kerajaan untuk terus memperkasakan kewujudan rangkaian sekolah vernakular seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) masih belum cukup untuk memenuhi hasrat bagi mencapai matlamat dan skop yang lebih luas dalam konteks perpaduan nasional.
"Sekarang ini kita hanya ada SJKC dan SJKT sahaja. Jika ada sekolah meliputi semua etnik dan kaum di negara ini, baru kita akan rasa adil, mungkin di Malaysia perlu ada 200 sekolah vernakular.
"Jadi, kami yakin sekiranya kerajaan memperuntukkan kewangan mencukupi bagi membangunkan lebih 100 sekolah vernakular, maka matlamat konsep 1Malaysia akan menjadi lebih inklusif serta tidak akan meminggirkan masyarakat lain," katanya dalam nada sinis pada sidang akhbar berhubung isu kedudukan sekolah vernakular Cina dan Tamil di sini hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan serta Presiden Pertubuhan Kemakmuran Masyarakat India Pahang, Ram Ponusamy.
Sementara itu, Nadzim menjelaskan, peranan sistem persekolahan sedia ada seperti sekolah kebangsaan dan sekolah wawasan masih gagal untuk menarik sokongan masyarakat serta membentuk perpaduan nasional yang lebih baik.
"Jika pendekatan sebelum ini masih tidak cukup cantik, mana tahu perpaduan akan menjadi lebih baik dengan adanya beratus-ratus sekolah vernakular yang mungkin boleh membawa kepada perpaduan nasional," jelasnya dalam nada yang sinis.
Dalam pada itu, Dr. Maamor turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu sekolah khusus untuk bangsa Melayu yang terasnya diajar mengenai bahasa, adat serta adab masyarakat Melayu.
"Orang Melayu semakin hilang budaya mereka. Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa Malaysia begitu juga tulisan Jawi yang semakin hilang.
"Jadi, kita perlu bentuk satu sekolah Melayu yang terasnya diajar budaya Melayu seperti syair, gurindam dan pantun serta bagaimana adab sopan santun ketika bercakap dengan raja," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140213/dn_10/Perluas-sistem-sekolah-vernakular---NGO#ixzz2t9yJkcs6 © Utusan Melayu (M) Bhd
KOMEN : NAK AMBIL KAU BILA SEMUA KAUM MOHON DIADAKAN SEKOLAH UNTUK KAUM MEREKA SENDIRI.... APA CER KERAJAAN NAJIB....
No comments:
Post a Comment