Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 10 February 2014

Khalid terancam, Nalla mengancam


Oleh Zulkiflee Bakar







Khalid Ibrahim

SEDIKIT demi sedikit, tembelang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang semakin terbongkar. Beliau ingin menjadi Menteri Besar Selangor dan sekali gus ‘menyingkirkan secara halus’ Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini masih terus berbalah dengan orang kesayangan Anwar, Azmin Ali.

Kenyataan Anwar dalam beberapa siri ceramah di Kajang sudah menampakkan bahawa kedudukan Abdul Khalid semakin terancam dan sudah tidak selamat lagi. Anwar menyulamkan pujian beliau terhadap Abdul Khalid dengan ‘kritikan’. Di sebahagian tempat beliau berucap Abdul Khalid seolah-olah menjadi bahan kempennya bagi ‘menghalalkan’ tindakan beliau bertanding di DUN tersebut.

‘‘Kalau puji Khalid, hendak ganti dia buat apa? Selangor sudah ada rekod baik dan kita perlu tingkatkan lagi. Peranan dia (Khalid) tentu ada.
Kalau ditakdirkan ada persetujuan (menjadi Menteri Besar Selangor), (dia) bantu saya. Saya tidak kata saya hendak jadi Menteri Besar tetapi kalau saya ambil alih dari Khalid, asas sudah ada. Apa pun, kita mesti menang di Kajang dahulu."

Dalam masa yang sama Anwar cuba digambarkan sebagai ‘penyelamat Selangor’ sehinggakan ‘ayam sabungnya’ Rafizi Ramli sanggup membuat fitnah kepada Barisan Nasional (BN) dengan menyatakan kemenangan Anwar di Kajang penting bagi menghalang BN menggunakan darurat merampas Selangor.

Rafizi yang disanjung sebagai ‘pakar strategi’ PKR membuat tohmahan itu dengan menjadikan peristiwa BN berkuasa di Kelantan pada 1977 sebagai perbandingan. Akibat ‘kejahilan’ dan ketaksuban Rafizi hendak membela Anwar, beliau dikritik oleh bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Faekah Husin yang menganggap hujah Rafizi terlalu dangkal.

Menurut Rafizi, langkah itu juga adalah satu lagi persediaan dan juga iktibar terhadap kejadian di Kelantan pada 1977 apabila BN menggunakan perkara sama untuk merampas kuasa kerajaan negeri daripada Pas. Sebenarnya, kita tidak perlu hairan dengan hujah-hujah dangkal seumpama itu yang sememangnya sering sahaja dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang bagi melaksanakan agenda politik mereka termasuklah Rafizi yang dilihat semakin ‘merapu berhujah’ demi kepentingan politik PKR dan Anwar. Tetapi apa yang lebih penting daripada itu ia membuktikan kedudukan Abdul Khalid sudah semakin tidak selamat.

Difahamkan satu gerakan lebih agresif sedang dan akan dilancarkan untuk memastikan seluruh pemimpin PKR di semua peringkat memberi sokongan kepada Anwar bagi menduduki kerusi Menteri Besar dan menggesa Abdul Khalid supaya meletakkan jawatan.

Mungkin untuk menyingkirkan Abdul Khalid bukanlah satu perkara yang sukar, bagi seorang pemimpin yang cukup berkuasa dalam sebuah parti seperti Anwar. Lagi pun sudah ada ura-ura pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang turut bersetuju dengan langkah politik Anwar itu.

Berikutan keadaan tersebut, Abdul Khalid kini boleh dianggap keseorangan dalam berhadapan dengan ‘serangan’ dari luar dan dalam parti.

‘‘Tidak pasti sejauh manakah Abdul Khalid akan bertahan, tetapi dari segi pandangan politik, beliau kini berada di kedudukan yang cukup getir untuk mempertahankan kerusi Menteri Besar,’’ kata seorang pemimpin muda Pas Selangor ketika dihubungi penulis.

Sememangnya, secara dasarnya cengkaman politik Abdul Khalid sebagai ‘longgar’, beliau seolah-olah bersendirian untuk mempertahankan kedudukannya. Biar pun mempunyai jasa terhadap PKR dan pakatan pembangkang termasuk memastikan mereka terus berkuasa di Selangor tetapi kini jasa-jasa Abdul Khalid seolah-olah mahu dilupakan begitu sahaja.

Kedudukan Abdul Khalid sebagai genting apabila perbalahan politik beliau dengan Azmin sehingga kini tiada menampakkan tanda-tanda akan reda. Sebaliknya, mereka terus berbalah melalui media berikutan apa yang berlaku di Selangor termasuk pemecatan pekerja kontrak Perbadan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) baru-baru ini. Biarpun didesak oleh Azmin yang menganggap pemecatan itu tidak wajar, Abdul Khalid membalas kritikan Azmin dengan menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu tidak faham undang-undang.

Penganalisis politik melihat, perbalahan itu akan mengukuhkan lagi usaha bagi menyingkirkan Abdul Khalid dari kerusi Menteri Besar oleh PKR.

Malah ia juga mengukuhkan hujah-hujah pemimpin-pemimpin parti itu bahawa Anwar paling layak menggantikan Abdul Khalid menerajui Anwar. Tetapi dari segi apakah soal kelayakan itu diukur?

Benar dari segi pengalaman politik, Abdul Khalid tidak boleh menandingi Anwar. Kedudukan Menteri Besar, Ahli Parlimen dan ADUN adalah jawatan yang diperolehi oleh Abdul Khalid sejak melibatkan diri dalam politik enam tahun lalu. Sedangkan Anwar, semua orang tahu sejarah perjalanan politiknya.

Bagaimanapun Abdul Khalid tidak ada musuh politik yang didakwa mempunyai pelbagai rahsia tentang diri beliau termasuklah peribadi. Malah Abdul Khalid juga tidak memiliki sebarang catatan hitam yang boleh dikaitkan dengan isu moral.

Tetapi bagaimana dengan Anwar? Sebab itulah kira-kira 3,000 bekas pemimpin PKR bersedia untuk turun ke Kajang bagi menentang beliau dan sudah pastilah orang yang paling ke depan ialah Presiden Parti Bersatu India Malay sia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan.

Beliau adalah individu pertama menawarkan diri menjadi calon untuk menentang Anwar. Kata Nallakaruppan, ‘‘Saya adalah calon yang paling sesuai untuk lawan Anwar sebab semua rahsia hitam peribadi dia ada dalam poket saya. Saya ingin berkongsi cerita dengan pengundi Kajang mengenai perihal dan kelakuan sebenar Anwar dalam pilihan raya nanti."

Biarpun menerima ugutan berunsur amaran, namun ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk berhadapan dengan Anwar.

Sememangnya, kita tidak pasti sejauh manakah Nallakaruppan akan berjaya dalam misinya, apatah lagi sebelum ini banyak dakwaan yang dikaitkan dengan Anwar berjaya ditepis oleh pembangkang dengan pelbagai hujah.

Tetapi apa yang menjadi perhatian ialah kegigihan Nallakaruppan yang tidak pernah berputus asa untuk mendedahkan siapa Anwar sebenarnya. Pasti ada sesuatu yang mendorong beliau begitu berani berhadapan dengan Anwar. Apakah itu? Jawapan tersebut hanya ada pada Nallakaruppan.

Apa pun, percaturan mengenai kedudukan Abdul Khalid yang terancam dan keberanian Nallakaruppan mengancam pasti akan mewarnai Pilihan Raya Kecil DUN Kajang pada 23 Mac ini.

Dan terserahlah kepada pengundi kawasan itu untuk membuat penilaian kerana pilihan raya kecil tersebut bukan sahaja menentukan masa depan DUN Kajang tetapi juga Selangor secara keseluruhannya, oleh itu buatlah keputusan yang boleh mendapat keredaan Allah SWT.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140210/re_01/Khalid-terancam-Nalla-mengancam#ixzz2stENksVe   © Utusan Melayu (M) Bhd 





No comments: