Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
PETALING JAYA - Harapan pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee untuk melihat sesi latihan sulung skuad bola sepak kebangsan bermula tanpa masalah tidak kesampaian selepas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Norshahrul Idlan Talaha gagal hadir tanpa sebarang alasan yang kukuh.
Bukan sekadar memberi bayangan tidak akan bersama skuad kali ini, malah tindakan Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo yang hanya membuat panggilan telefon kepada Kim Swee dilihat tidak profesional.
Pemain tidak menghantar surat rasmi untuk menjelaskan mengapa dia tidak dapat hadir pada hari pertama sesi latihan.
'Mood' pengendali sementara Harimau Malaya itu jelas tidak begitu gembira ketika ditemui dan berharap penyerang berusia 27 tahun itu menghormati panggilan skuad kebangsaan dan jika memang terdapat sebarang masalah, Mat Yo sekurang-kurangnya perlu datang menemuinya
"Dia hanya memberitahu saya secara lisan iaitu menerusi panggilan telefon yang dia tidak dapat hadir ke latihan pertama pasukan kebangsaan hari ini, namun bukan itu cara yang sepatutnya. Dia perlu menulis surat secara rasmi kepada saya dan tidak menghilangkan diri begitu sahaja, apa-apa pun dia kena datang sini dahulu.
"Ini bukan kali pertama dia dipanggil menyertai pasukan kebangsaan, sepatutnya dia tahu bukan begini cara yang betul jika ada sebarang masalah, saya cukup sedih dengan tindakannya.
"Namun, sekiranya dia tiada sekali pun, saya masih ada ramai lagi pilihan di barisan serangan seperti Bobby Gonzales, Amri Yahyah, Fakri Saarani dan Safee Sali yang masih mampu diketengahkan, " katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama Harimau Malaya di padang Wisma FAM.
Selain Mat Yo, Amri juga tidak dapat hadir pada pendaftaran hari pertama pemain kebangsaan, namun bekas pemain Selangor itu difahamkan mempunyai masalah keluarga dan akan hadir ke Wisma FAM sekurang-kurangnya pada hari ini bagi menyertai 23 pemain lain.
Sementara itu, pertahanan Pahang, Mohd. Razman Roslan yang masih mengalami masalah hamstring turut mendaftar diri dan tahap kecederaannya akan dinilai sebelum Kim Swee membuat keputusan memanggil pemain lain.
Norshahrul yang menjaringkan salah satu gol kemenangan ke atas Kedah pada pertemuan suku akhir kedua Piala FA, difahamkan tidak mahu menyertai latihan skuad kebangsaan kali ini disebabkan mahu menjalani ibadah umrah pada 3 Mac.
Ia sekali gus bakal menyebabkan dia terlepas untuk membantu Malaysia dalam aksi persahabatan menentang Filipina, 1 Mac dan Yemen, empat hari kemudian bagi kelayakan Piala Asia 2015.
Dalam isu berlainan, Kim Swee memberitahu, beliau akan mengumumkan nama ketua pasukan beberapa hari lagi setelah berbincang dengan pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal.
"Saya akan beritahu kepada anda siapakah ketua pasukan baharu Harimau Malaya kerana sesiapa sahaja yang dilantik, dia bukan sahaja mempunyai tugas yang besar di dalam padang tetapi di luar padang.
"Apa-apa pun saya kena bincang dahulu dengan Subahan siapakah ketua pasukan yang selayaknya, kita akan beritahu dalam masa dua ke tiga hari lagi, " katanya.
Menyentuh peluang Harimau Malaya ke Piala Asia 2015, Kim Swee mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu mengharap kerana secara matematik, semuanya bergantung kepada keputusan aksi negara-negara lain.
"Perlu diingat, Iraq yang kini berada di tangga ketiga Kumpulan C memungut enam mata dan akan menentang China di tempat sendiri, jika mereka seri sekali pun, peluang kita sudah tertutup kecuali China mengalahkan mereka sambil mengharapkan Lebanon serta Syria tidak menang, " katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140220/su_01/Di-mana-Mat-Yo#ixzz2tp8gNa6E © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment