Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 3 February 2014

'Pesalah takkan terlepas' - Hamidin


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my




Jurulatih JDT, Cesar Fernando Giminez berbincang sesuatu dengan pengadil perlawanan setelah pasukan T-Team enggan memasuki padang bagi meneruskan perlawanan separuh masa kedua dalam kempen Piala FA di Johor Bahru malam semalam.

KUALA LUMPUR - Sekiranya terdapat sebarang bukti kukuh, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan teragak-agak untuk membawa insiden pergaduhan yang berlaku di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Johor Bahru antara pegawai tertinggi Johor Darul Ta'zim (JDT) serta pemain dan pihak kejurulatihan T-Team ke hadapan Jawatankuasa Tatatertib.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, kekecohan yang terjadi dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA malam semalam itu bukan sesuatu yang baik kepada perkembangan bola sepak tempatan dan berjanji mana-mana individu yang melanggar peraturan tidak akan terlepas daripada hukuman.

Buat masa ini beliau sedang menunggu laporan daripada lima pihak iaitu pesuruhjaya perlawanan, koordinator perlawanan, pengadil serta daripada JDT dan T-Team.

"Saya sudah maklum dengan apa yang terjadi di Johor Bahru dan ada mendapat laporan secara lisan daripada pesuruhjaya perlawanan (Zainal Mukri) cuma saya mahu melihat terlebih dahulu laporan rasmi secara bertulis sebelum membuat sebarang keputusan.

"Selain itu, pada hari esok, (hari ini) saya juga akan mendapatkan laporan daripada pengadil, koordinator perlawanan dan sebarang laporan daripada pasukan JDT dan T-Team.

"Jika memang ada pegawai atau pemain yang melanggar peraturan tatatertib pertandingan, dengan bukti yang kukuh dikemukakan, kes ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib," katanya ketika dihubungi, semalam.

Aksi di Johor Bahru terpaksa ditangguhkan ketika JDT mendahului 2-1 apabila semua pemain T-Team enggan masuk semula ke padang bagi memulakan separuh masa kedua. Mereka dikatakan tidak berpuas hati dengan insiden yang berlaku semasa menuju ke bilik persalinan.

Hamidin menjelaskan status keputusan perlawanan antara JDT dan T-Team yang ditangguhkan akan ditentukan pada Khamis ini setelah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah.

"Saya sudah berbincang dengan Afandi yang satu mesyuarat khas akan diadakan pada Khamis ini bagi menentukan keputusan perlawanan atau perlawanan ulangan akan diadakan.

"Memang rasa kecewa juga kerana insiden seperti ini boleh berlaku sehingga perlawanan terpaksa ditangguhkan, tambahan musim ini baru sahaja bermula tetapi kami di FAM terpaksa menghadapinya.

"Saya harap penyokong kedua-dua pasukan dan pasukan lain masih meneruskan sokongan terhadap bola sepak tempatan dan berharap tidak akan ada lagi isu yang sama berulang," katanya.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata menerusi Twitter, insiden tersebut perlu disiasat dengan telus tanpa berat sebelah.

"Insiden ini serius dan banyak saksi," katanya lagi dalam laman sosial itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140203/su_03/Pesalah-takkan-terlepas---Hamidin#ixzz2sE1DJELg  © Utusan Melayu (M) Bhd 




No comments: