Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 12 Feb. - Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira memberi keterangan bagi membolehkan beliau mencabar kredibiliti saksi pendakwaan itu dalam kes liwat yang dihadapinya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Aziah Ali memutuskan demikian sebulat suara selepas mendapati Ketua Pembangkang itu gagal memenuhi kesemua syarat yang diperlukan bagi membolehkan bukti atau keterangan baharu dimasukkan sebagai bahan bukti dalam kes tersebut.
Berikutan itu, rayuan kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang dijadualkan didengar hari ini dan esok ditangguhkan atas permohonan pihak pembelaan yang ingin mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.
Mahkamah menetapkan 28 Februari ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui status rayuan pihak pembelaan itu.
Peguam, Karpal Singh yang mewakili Anwar sebelum itu memohon penangguhan rayuan kes liwat itu kerana pihaknya akan memfailkan rayuan tetapi dibantah oleh peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan pendakwaan.
Tegas Muhammad Shafee, rayuan kes liwat telah mengambil masa yang lama dan masih belum didengar sehingga hari ini.
Hakim Aziah yang bersidang bersama Hakim Datuk Rohana Yusuf dan Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh bagaimanapun membenarkan penangguhan itu.
"Kami telah membuat pertimbangan iaitu walaupun kami inginkan rayuan kes liwat ini didengar namun kami enggan dianggap sebagai telah memprejudiskan hak pemohon (Anwar) dalam membuat rayuan.
"Bagaimanapun, saya ingatkan bahawa rayuan kes liwat ini akan tetap didengar satu hari nanti. Disebabkan terlalu banyak permohonan dan usul dibuat, rayuan kes liwat ini masih belum dapat didengar sehingga hari ini," tegas Hakim Aziah.
Terdahulu, dalam keputusan menolak permohonan memanggil semula Judy, Hakim Aziah berkata, syarat-syarat yang diperlukan itu ialah bukti tersebut tidak diperoleh pada waktu perbicaraan, memberi impak yang besar kepada keputusan perbicaraan selain bukti itu adalah kredibel dan perlu atau sesuai demi kepentingan keadilan.
Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan petisyen penerimaan masuk Judy sebagai peguam bela dan peguam cara adalah berdasarkan laporan inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam kes penahanan lima peguam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kerana terlibat dalam perhimpunan haram.
Inkuiri yang dipengerusikan oleh Muhammad Shafee pada 2009 itu mendapati Judy merupakan saksi yang tidak boleh dipercayai kerana 'secara sedar atau tidak telah tidak bercakap benar atau menghidap penyakit hilang ingatan yang serius'.
Oleh itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusuf telah menyifatkan Judy sebagai seorang yang 'tidak layak dan sesuai' untuk diterima masuk sebagai peguam.
Bagaimanapun, hasil inkuiri yang menjadi asas kepada penghakiman Hakim Zaleha bukan sesuatu yang baru diperolehi kerana perkara itu telah pun disoal kepada Judy sewaktu perbicaraan oleh pihak pembelaan.
Selain itu, ujar Hakim Aziah, hakim yang mendengar perbicaraan kes liwat itu, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah telah mengambil kira keterangan kesemua saksi selain Judy terutamanya pengadu, dua doktor dan dua ahli kimia dalam menentukan kes prima facie.
Oleh itu, kemasukan laporan Suhakam itu dilihat tidak akan mempengaruhi keputusan Hakim Mohamad Zabidin.
"Permohonan ini ketandusan alasan. Oleh itu, permohonan ini ditolak," ujar Hakim Aziah.
Sementara itu, Muhammad Shafee ketika ditemui selepas tamat prosiding menyifatkan rayuan berhubung permohonan itu hanyalah taktik untuk melengah-lengahkan rayuan kes liwat itu.
Muhammad Shafee juga mendakwa, tindakan pihak pembelaan yang hanya memberikan jawapan kepada hujahan pihak pendakwa dalam rayuan kes liwat pada hari ini juga adalah tindakan melengah-lengahkan kes.
"Saya akan menulis surat rasmi kepada pendaftar Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan agar kedua-dua rayuan dipercepatkan," katanya.
Rayuan kes liwat itu telah ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak Disember 2013.
Anwar, 67, dilepas dan dibebaskan pada awal 2012 daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140213/ma_01/Rayuan-kes-liwat-tangguh#ixzz2tAGKkqIb © Utusan Melayu (M) Bhd
KOMEN : BARU MULA BICARA DAH DI TANGGUH... DIA BUAT DAH...TANGGUH SESUKA HATI.
No comments:
Post a Comment