Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 4 February 2014

Mahu ketawa, mengetawa atau diketawakan?



Coretan Marhaen




SEMALAM penulis memaksa diri menonton video ucapan Tahun Baharu Cina oleh seorang Ahli Parlimen pembangkang yang heboh diperkatakan sekarang.

Bukan tidak ada kerja lain hendak dibuat, bukan juga tidak ada video lain hendak ditonton namun penulis merasakan perlu menontonnya.

Dan akibatnya, hampir 15 minit masa penulis dibazirkan begitu sahaja dengan menonton video tersebut. Penulis tertanya-tanya berapa lama pula masa yang dibazirkan oleh Yang Berhormat (YB) itu untuk menghasilkan video berkenaan?

Berdasarkan pengalaman penulis menghasilkan video dokumentari semasa di universiti dan hasil pertanyaan dengan kawan-kawan dalam industri itu, ia tidak sesingkat durasi video.

Maklumlah perlu ada pra-produksi iaitu persediaan tempat dengan segala props seperti kerusi tempat YB itu duduk selaku moderator, kerusi panjang untuk tiga ahli panel dan hiasan lain.

Penggambaran pula tentunya tak mungkin selesai dalam masa setengah jam. Maklumlah banyak isu yang disentuh dalam ‘forum’ itu antaranya soal tak selamat lagi tinggal di negara ini, ‘nasihat perjalanan’ sempena Tahun Melawat Malaysia dan ‘tawaran istimewa’ melawat Sabah di samping topik ‘Sell Chinese’ atau Jual Cina. Pasca penggambaran pula, ada proses penyuntingan.

Jadi jika dicongak-congak, rasanya penghasilan video itu memakan masa sekurang-kurangnya pun dua tiga jam. Atau mungkin lebih lagi kerana itu belum dikira masa yang diambil oleh YB berkenaan untuk bersiap dan bersolek serta menyarung cheongsam merahnya.

Untuk menghasilkan video yang menurutnya ditujukan khas kepada pengundi di kawasannya yang boleh bertutur bahasa Kantonis dan Mandarin, YB ini sanggup menghabiskan masa begitu sahaja.

Penulis tidak nampak apa faedahnya. Selain untuk menyindir dan mengutuk kerajaan dan pihak berkuasa. Penulis tidak tahu pula jika para pengundi di kawasan YB ini mengalu-alukan ‘inisiatifnya’ itu.

Tapi penulis sendiri sebagai rakyat marhaen cukup percaya, mereka tentu sahaja akan lebih menghargai jika masa yang dibazirkan bagi menghasilkan video tersebut digunakan untuk turun padang membuat tinjauan harga. Lebih elok lagi jika dia benar-benar menjadi Yang Berkhidmat dengan meninjau kesulitan penduduk seperti jalan berlubang di kawasannya, sambil mengagihkan buah limau.

Mungkinkah YB ini sudah terlampau yakin bahawa para pengundi di kawasannya yang bertutur bahasa video ucapan perayaannya itu tidak akan berganjak sedikit pun sokongan mereka?

Lagipun, turun padang atau tidak, bukan menjadi masalah kerana sebagai kawasan bandar, kerajaan Pusat mahu tidak mahu terpaksa juga menyediakan segala prasarana yang selayaknya.

Sehingga semalam, sudah lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis terhadap YB itu gara-gara videonya.

Walau apa pun alasan yang diberikan bagi menghalalkan penghasilan video tersebut, unsur provokasi tidak dapat ditolak sama sekali.

Penulis tertarik dengan saranan bekas wakil rakyat pembangkang yang kini lebih dikenali sebagai aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye tentang keperluan untuk kerajaan menimbangkan peruntukan undang-undang bagi mengukuhkan keharmonian dan memupuk persefahaman antara kaum dan agama dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sikap saling menghormati dan memahami menjadi cukup mustahak dalam kalangan rakyat negara ini yang berbilang etnik dan agama.

Namun perkembangan yang berlaku seolah-olah menunjukkan perkataan hormat, harmoni dan muhibah nampaknya semakin jauh daripada minda rakyat khususnya pemimpin pembangkang sejak akhir-akhir ini.
Sebab itulah segala-segalanya hendak dipolitikkan.

Sampaikan sambutan perayaan pun tidak lagi menjadi hari yang suci, hari untuk bergembira dan berbaik-baik - sehingga perlu diisi dengan sindiran, kutukan, tohmah dan umpatan.

Pepatah Melayu menyebut " menepuk air di dulang, pasti terpercik ke muka sendiri" begitu jugalah “kalau meludah ke langit".

Bersusah-payah menghasilkan video yang sarat dengan sindiran dan provokasi seperti itu mungkin berjaya membuatkan beberapa orang ketawa menontonnya. Tetapi jangan lupa pada masa sama, mungkin lebih ramai pula yang mengetawakannya!


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140204/re_03/Mahu-ketawa-mengetawa-atau-diketawakan#ixzz2sJcvtzyJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 




No comments: