PETALING JAYA - Bekas Setiausaha Agung Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan menggesa semua pasukan Liga Malaysia kembali bermain dengan berdisiplin, jujur dan menghiburkan sebagai membalas sokongan peminat yang sanggup hadir dan membayar tiket ke stadium untuk menonton aksi mereka.
Katanya, apa yang berlaku sekarang ialah peminat tempatan seolah-olah tidak mendapat pulangan yang berbaloi dengan aksi beberapa pasukan disokong mereka sehingga mendorong mereka bertindak agresif dan mencetuskan kekecohan di dalam dan luar stadium.
"Saya mengumpamakannya dengan kesanggupan mereka yang membayar RM50 untuk makan malam tetapi hanya dapat menikmati RM20 daripadanya. Itu yang mendorong mereka berkelakuan agresif.
"Setiap peminat ini berhak mendapat permainan bola sepak yang berdisiplin, baik dan jujur serta menghiburkan tetapi sekarang ada begitu banyak imej buruk bola sepak Malaysia yang disajikan," katanya.
Beliau ditemui pada sidang akhbar pengumuman persediaan Piala Dunia Bola Sepak Bersatu Olimpik Khas di Malaysia dari 1 hingga 15 November ini di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini semalam.
Velappan, Setiausaha Agung AFC dari 1978 hingga 2007, mengulas mengenai gejala samseng bola sepak tempatan di tengah-tengah Liga M yang kembali dimeriahkan dengan kebanjiran penonton di stadium dan saingan hebat pasukan.
Sementara itu mengenai Piala Dunia Bola Sepak Bersatu Olimpik Khas, beliau yang juga Naib Presiden Olimpik Khas Malaysia (SOM) berkata, Libya kelmarin melengkapkan senarai 25 pasukan bertanding tahun ini setelah mengalahkan Mesir dalam kelayakan peringkat Afrika.
Piala Dunia khas ini akan turut disertai Amerika Syarikat, Jamaica, Costa Rica, Honduras, Afrika Selatan, Ivory Coast, Tanzania dan Arab Saudi.
Pasukan lain ialah Serbia, Romania, Slovakia, Perancis, Poland dan Rusia, Korea Selatan, China, Thailand, Bangladesh dan Malaysia.
Bekas bintang bola sepak antarabangsa seperti David Beckham, Zico, Romario, Pele, Didier Drogba dan Christian Karembeu serta Hidetoshi Nakata dijangka hadir ke negara ini bagi memeriahkan kejohanan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140221/su_05/Main-dengan-jujur#ixzz2tufVPqHx © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment