Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 5 February 2014

Benarkah 'ayam jantan' ada di mana-mana?


Oleh Fauziah Arof





"HUK aloh, rajin atau malah tu begantung pada seseore, buke pado negeri atau ore jate jo. Ore tino pun rama yang malah jugok," kata seorang rakan lelaki berasal dari Pasir Puteh, Kelantan kepada saya dengan bersungguh-sungguh ketika bercakap tentang dakwaan bahawa orang lelaki Kelantan malas bekerja.

Katanya lagi, janganlah suka menghentam orang lelaki Kelantan kuat-kuat sangat, nanti ramai yang tidak mahu ambil orang lelaki Kelantan jadi menantu. Bukankah itu cubaan untuk menganiaya namanya?

Pun begitu, pada saya, tentu ada asas dan ada sebab-sebabnya apabila Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud baru-baru ini mengeluarkan kenyataan dengan meletakkan golongan lelaki khususnya di Kelantan yang tidak bertanggungjawab dalam melindungi dan mencari nafkah keluarga sama tarafnya dengan ayam jantan.

Bila sudah menyamakan golongan lelaki yang malas bekerja dengan perangai ayam jantan, maknanya mereka ini tidak memberi sebarang manfaat atau berguna pada keluarga. Sebabnya, ayam jantan ini hanya tahu buat bising dengan berkokok dan membiak saja. Ayam betina juga yang membawa anak-anaknya berderet berjalan mengikutnya sambil mengais tanah mencari makan.

Bagi saya, tidak perlulah orang lelaki khususnya di Kelantan melenting sangat dengan kenyataan Mohd. Nassuruddin ini kerana ia lebih kepada memberi peringatan kepada golongan lelaki yang berperangai seperti ayam jantan ini.

Kita semua pun sedia maklum, jika lelaki Kelantan ini malas-malas belaka dan tidak cerdik, sudah tentu institusi-institusi pengajian tinggi awam di negara ini akan sunyi dengan gelagat mereka ini yang selalunya riuh-rendah bila berkumpul di mana-mana saja. Sekarang ini kita dapat lihat betapa ramai lelaki Kelantan yang memegang jawatan yang hebat-hebat di negara ini.

Seorang rakan baik saya juga dulu berikrar tidak mahu berkahwin dengan lelaki Kelantan kerana dalam kepalanya telah ada setting bahawa lelaki Kelantan pemalas dan suka berpoligami. Tetapi akhirnya dengan kehendak Tuhan, dia dijodohkan dengan orang Kelantan, yang berpangkat tinggi dan sehingga kini dia masih kekal menjadi satu-satunya isteri kepada suaminya itu.

Tetapi memang benar jugalah seperti yang dikatakan oleh Mohd. Nassuruddin, fenomena semakin ramai lelaki yang jadi pemalas dan bersikap senang-lenang dengan membiarkan isteri berhempas-pulas bekerja untuk menyara keluarga telah banyak berlaku. Ini bukan baru terjadi tetapi telah lama berlaku dalam masyarakat kita.

Ia bukan saja berlaku di Kelantan tetapi di negeri-negeri lain juga. Perkembangan ini sudah tentu amat membimbangkan. Sebabnya, dengan sikap sebeginilah banyak perkara buruk boleh berlaku. Ia bukan saja boleh mengugat kesejahteraan dan keharmonian dalam sebuah keluarga atau rumahtangga, adakalanya boleh membawa kepada perlakuan jenayah yang melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

Ini bukan sekadar cerita drama di televisyen.

Kita sudah biasa dengar dan lihat, ada isteri terutamanya yang tinggal di luar bandar, sanggup berkebun, turun ke bendang, menoreh getah, bekerja di restoran atau menjual kuih-muih tetapi suaminya yang segar-bugar melingkar di rumah seperti ular sawa kekenyangan. Jika tidak duduk di rumah, dia akan melepak dengan kawan-kawan dan balik hingga jauh malam. Bukan mahu membantu kerja-kerja rumah. Duit belanja makan, minum dan pakaiannya, semua guna duit isteri.

Di bandar juga ramai yang berperangai begini. Tidak kiralah isteri itu berpendapatan kecil atau besar. Kalau berpendapatan besar, lagilah suami jenis berat tulang ini mengambil kesempatan dan lepas tangan, membiarkan semuanya menjadi tanggungan isteri.

Sudahlah begitu, pengorbanan isteri seperti ini ada yang tidak dihargai pula. Si isteri sering dimarah-marah, dipukul dan paling menjengkelkan apabila suami yang tidak bekerja ini ada hati mencari perempuan lain dengan alasan si isteri asyik sibuk bekerja.

Jika perkembangan ini berterusan dan kelak menjadi satu perkara biasa pula di negara ini, maka tidak hairanlah ramai wanita memilih untuk hidup membujang kerana bimbang terpaksa menanggung semua ini. Oleh itu, tidak perlulah ditanya-tanya lagi, disindir-sindir atau dibuat kaji selidik mengapa ramai wanita di negara ini lebih senang hidup sendiri dan sanggup digelar andartu.

Sudah tentulah mereka tidak mahu hidup bersusah payah dalam perkahwinan kerana terpaksa menyara hidup seorang lelaki, sedangkan hidup mereka jauh lebih senang dan gembira semasa bujang.

Bukankah ini menggugat institusi kekeluargaan dan macam-macam lagi masalah sosial akan terus ditambah dan bertambah melaluinya?

Maka, biarlah saja ayam jantan dengan resminya. Sudah tentu tidak boleh diubah. Yang lelaki pula, kembalilah kepada fitrahnya, menggalas tanggungjawab menjadi pemimpin dan dalam masa sama mencari nafkah untuk keluarga.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140205/re_02/Benarkah-ayam-jantan-ada-di-mana-mana#ixzz2sPRgQ6Qd  © Utusan Melayu (M) Bhd 



1 comment:

Anonymous said...

Laa patut la ramai pompuan K'tan ramai kawen org luar.
Adek ipar aku pompuan, ngan adek die dua org kawen org Johor. Laki Johor ni rajin ke ? Jln jln kat Johor , kawasan kampung, kebun diaorg bersih, siap nampak tanah lg.
Aku, kawen org luar negeri, lepas sempadan M'sia, he he.