Oleh Hassan Mohd. Noor
KHABAR dari Permatang Pauh memaklumkan. Anwar Ibrahim telah menjelaskan kepada sebahagian kecil pengundi dan penduduk di kawasan itu mengenai keputusannya berhijrah ke Kajang. Maksud sebahagian kecil adalah kerana jumlah yang hadir pada perjumpaan itu tidak ramai. Mungkin pengundi dan penduduk Permatang Pauh sudah tahu niat sebenar wakil rakyat mereka. Siapa sangka seorang pemimpin yang begitu gah di Permatang Pauh sanggup menawarkan diri untuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
Alangkah baiknya jika beliau bertanding di kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum (PRU) lalu. Mana tahu, untung badan dan atas dasar semangat kerjasama, DAP boleh menyerahkan jawatan Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang kepada Anwar. Jika itu menjadi kenyataan, maka terbeliaklah parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama UMNO apabila melihat Melayu Pulau Pinang boleh menjadi KM.
Tentulah, ada sebabnya mengapa Anwar tidak bertanding di kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh pada PRU sembilan bulan yang lalu. Jika berhasrat menjadi KM, beliau boleh berbuat demikian pada pilihan raya kecil (PRK) Penanti selepas PRU 2008. Namun, mustahil DAP akan menyerahkan jawatan KM kepada PKR. Setakat bercakap bolehlah, tetapi akhirnya mereka akan mengikut juga formula amalan Barisan Nasional (BN) di negeri itu selama ini. Anwar bernasib baik kerana beliau boleh meninggalkan Permatang Pauh dengan senang hati untuk ke Kajang. Tidak perlu kaki kanan di Permatang Pauh dan kaki kiri di Kajang.
Semua kerjanya boleh dibereskan oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kawasan itu - Permatang Pasir (Pas), Penanti (PKR), Seberang Jaya (PKR). Mungkin tanpa kehadiran Anwar pun, pengundi-pengundi Permatang Pauh tidak kisah. Tiga ADUN yang ada boleh membereskan kerja Anwar. Beberapa rakan di Permatang Pauh juga tidak teruja untuk berbicara mengenai keputusan wakil rakyat mereka bertanding di DUN Kajang. Bagi mereka, ada atau tidak, sama sahaja. Biarlah Anwar mengejar cita-citanya walaupun sekadar menjadi Menteri Besar (MB), bukannya Perdana Menteri (PM).
Bagaimana pula kalau Anwar menjadi MB? Jika ini berlaku tentunya satu rekod bagi politik Malaysia kerana anak Pulau Pinang boleh menjadi MB di Selangor Darul Ehsan. Kalau di Pulau Pinang, jangan haraplah boleh jadi KM. Andainya Anwar menjadi MB, adakah akan ada desakan supaya beliau mengosongkan kerusi Permatang Pauh? Terabaikah nasib pengundi atau penduduk Permatang Pauh? Jika ada desakan sekali pun, Anwar tidak akan berbuat demikian kerana mungkin ketika itu, akan timbul pula kenyataan bahawa PRK itu satu pembaziran. Maka ketika itu tidak perlulah beliau mengosongkan kerusi Permatang Pauh. Inilah politik dalam kalangan parti pembangkang. Mereka sahaja yang betul. Berapa pula kos sebenar PRK Kajang?
Khabarnya akan melibatkan RM1.6 juta. Jumlah itu bukan sandiwara angka. Mungkin paling kurang RM1 juta. Itu baru kos SPR atau dalam erti kata sebenar kos kerajaan. Bagaimana pula kos yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan parti politik? Disebabkan kerajaan negeri Selangor diterajui oleh PKR, adakah tidak ada satu sen pun duit kerajaan negeri (melibatkan pihak berkuasa tempatan dan sebagainya) akan mengalir untuk PRK ciptaan PKR ini?
Jika bukan wang yang mengalir keluar, berapa banyak pula masa MB Selangor akan dihabiskan untuk berpolitik di Kajang bagi mengiringi kempen bakal MB ini? Dua tiga hari selepas wakil rakyat PKR meletak jawatan, Anwar sudah pun berkempen. Kenapa harus terburu-buru? Bukannya orang Kajang tidak kenal siapa Anwar. Kempen terlalu awal, sebulan sebelum PRK hanya menimbulkan keresahan penduduk yang mungkin sedikit terganggu. Untuk tempoh menjelang penamaan calon ini, biarlah penduduk menjalankan urusan harian mereka dengan tenang, seperti hari-hari biasa tanpa ceramah atau tazkirah politik.
PKR khususnya hendaklah menghentikan segera sandiwara, drama atau satira politik yang sedang dipentaskan di Kajang. PRK masih jauh. Cukuplah sekadar SPR membuang wang untuk PRK ciptaan PKR ini. Parti-parti politik eloklah tidak membazir wang dengan kempen terlalu awal.
Alangkah baiknya, jika RM1.6 juta yang bakal digunakan dapat menampung pelbagai bantuan. Banyak masjid, surau, sekolah agama yang sedang dalam pembinaan masih memerlukan bantuan. Wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk aktiviti kebajikan lain serta menyediakan pelbagai prasarana untuk faedah rakyat tanpa mengira fahaman politik.
Mungkin ada yang mempertikaikan secara sinis, kalau tidak ada PRK, wang sejumlah itu belum pasti dibelanjakan. Belanja atau tidak, mahal atau murah, kos itu tidak sepatutnya dikeluarkan sekiranya tiada permainan politik PKR menganjurkan PRK ini. Diselak kembali, ini adalah pembaziran wang rakyat untuk kali kedua bagi memenuhi keperluan politik Anwar. Pada 2008 sebanyak RM1.5 juta dibelanjakan bagi mengadakan PRK Parlimen Permatang Pauh setelah isterinya Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan, beberapa bulan selepas PRU 2008.
Berdasarkan situasi ini adakah, pengundi-pengundi di Kajang akan mengajar pemimpin PKR ini? Satu persoalan yang menarik untuk dijawab kerana pada 2008, pengundi-pengundi Permatang Pauh seolah-olah tidak peduli soal pembaziran wang kerana bagi mereka Anwar perlu mendapat tempat. Bezanya, di Permatang Pauh, Anwar adalah orang tempatan yang pernah mewakili mereka tetapi di Kajang, keadaannya amat berbeza. Sebagai catatan, DUN Kajang sebelum ini pernah diwakili BN (1995, 2004), DAP (1986, 1990), Pas (1999) dan PKR (2008).
TARIKH MENARIK MENJELANG PRK
SELEPAS cerita PRK dirancang PKR, timbul pula persoalan, sama ada tarikh PRK PKR ini sudah dirancang. Hari penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac, pengundian awal 19 Mac dan hari pengundian biasa pada 23 Mac. Ada yang mula mempertikaikan kerana pada 10 Mac akan berlangsung istiadat pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong. Diikuti 11 Mac pula usul menjunjung kasih dan perbahasan titah di raja. Persidangan kali ini akan berlangsung sehingga 10 April. Pada 11 Mac ini, Anwar akan memilih yang mana satu? Sebagai ketua pembangkang, Anwar sepatutnya hadir di Dewan Rakyat. Pada hari penamaan calon. Anwar boleh diwakili pihak lain untuk menyerahkan kertas pencalonan. Mungkin, Khalid Ibrahim boleh meninggalkan Dewan Rakyat seketika untuk mewakili Anwar. Maka tidak seharusnya, tarikh ini menjadi isu besar. Tentunya apa yang turut menarik perhatian mengenai tarikh ialah 11,12 dan 13 Februari ini apabila Anwar berdepan dengan kes berkaitan liwat.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140210/re_03/Kempen-awal-PRK-ciptaan-PKR-ganggu-penduduk#ixzz2st5jDB2U © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment