Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my
SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara keseluruhan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SukIPT) 2014 menewaskan juara edisi pertama, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan meraih 64 pingat emas, 44 pingat perak dan 34 pingat gangsa.
UPM muncul naib juara keseluruhan dengan mengumpul 53 emas, 31 perak dan 35 gangsa, manakala Universiti Malaya (UM) ketiga menerusi 16 emas, 11 perak serta 17 gangsa.
Pengumuman itu dibuat pada majlis penutup SukIPT 2014 yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh di Dewan Tuanku Agong Canselor UiTM di sini semalam.
Majlis penutup sukan dwi tahunan itu berlangsung meriah dengan pelbagai persembahan disajikan kepada para peserta termasuk tarian kebudayaan daripada penuntut UiTM, persembahan video serta persembahan finalis Maharaja Lawak Mega, Bocey serta One Nation Emcee.
Idris melahirkan kegembiraan dengan penganjuran SukIPT 2014 dan berharap atlet-atlet yang berjaya dapat membantu mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa suatu hari nanti.
Katanya, kebanyakan atlet yang menyumbang kepada kejayaan negara di persada sukan antarabangsa kebanyakannya terdiri dari kalangan para penuntut IPT.
"Saya berharap mereka yang berjaya di SukIPT ini dapat mewakili negara suatu hari nanti di temasya sukan besar dunia Sukan SEA, Sukan Asia dan lebih baik sekiranya berjaya ke Olimpik.
"Mereka yang berjaya meraih pingat emas pada temasya sukan ini akan dipertimbangkan permohonan mereka untuk mendapatkan biasiswa sukan Kementerian Pendidikan," katanya.
Temasya SukIPT 2014 yang disertai seramai 105 kontinjen dengan penglibatan seramai 8,000 atlet dari pusat pengajian tinggi seluruh negara itu menyaksikan sebanyak 98 rekod baharu berjaya dicipta sepanjang tempoh 14 hari penganjurannya bermula 3 Februari lalu.
Daripada jumlah keseluruhan, 36 rekod berjaya dicipta dari acara renang, olahraga (19), menembak (4) dan memanah (3).
Penganjuran yang dianggap tepat pada waktunya kerana tahun ini padat dengan kejohanan antarabangsa penting seperti Sukan Asia serta Sukan Komanwel dan SukIPT dilihat menjadi medan pemanas badan kepada para atlet negara.
Lebih penting, SukIPT turut menjadi pentas terbaik bagi atlet kebangsaan yang selama ini 'menghilang', kembali semula ke gelanggang saingan.
Antara yang membuat kemunculan kembali ialah bekas atlet lawan pedang negara, Husnul Ariq Bakri dan bekas perenang wanita negara, Chui Lai Kwan.
Pihak tuan rumah SukIPT 2014 juga berjaya memastikan kelancaran program meskipun terdapat beberapa acara sukan berlangsung di luar UiTM seperti di Pusat Akuatik Darul Ehsan bagi acara renang, UPM (ragbi), Stadium Arena UM (olahraga), Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah (lawan pedang) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140217/su_06/UiTM-dinobat-juara-keseluruhan#ixzz2tYBtCtyj © Utusan Melayu (M) Bhd
KOMEN : TAHNIAH UiTM...
No comments:
Post a Comment