DATUK RUHANIE AHMAD, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor, ialah pelajar PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
PROVOKASI terhadap status rasmi Islam dalam Perlembagaan Persekutuan mutakhir ini, jika gagal ditangani secara pantas dan tegas, berpotensi mencetuskan konflik agama, konflik etnik dan mungkin Malaysia spring. Ini kerana provokasi tersebut didukung oleh segolongan pemimpin siasah alternatif termasuk beragama Islam, yang ghairah mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN) waima menerusi cara tidak demokratik.
Konflik agama dan konflik etnik, sejak dulu sampai sekarang, adalah parah padahnya, lebar dimensinya dan luas implikasinya. Ia boleh menyebabkan perpecahan negara, pertumpahan darah dan campur tangan asing. Konflik etnik dan agama di Semenanjung Balkan, Eropah (1992-1995), mengorbankan antara 200,000 hingga 250,000 umat Islam Bosnia akibat genocide dan pembersihan etnik, serta satu juta lagi menjadi pelarian (inter-islam.org: 1998).
Mulai awal 1990-an, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan pendekatan intervensi kemanusiaan untuk menangani, mengurus atau menyelesaikan konflik-konflik seperti ini. PBB melaksanakannya tanpa izin negara yang dilanda konflik (Mingst & Karns 1995).
Di abad ke-21, konflik etnik mendorong beberapa kuasa besar untuk campur tangan dalam urusan di negara yang strategik kepada kepentingan geopolitiknya. Pada 2008, tentera Russia menyokong pihak Ossetians untuk menentang pemerintah Georgia, dan pada tahun 2011, NATO masuk campur dalam konflik di Libya (Brock et al. 2012).
Ini semua mencerminkan kesan, dimensi dan implikasi konflik agama dan konflik etnik di negara majmuk. Pemerintah dan penguat kuasa undang-undang Malaysia, oleh yang demikian, jangan berkompromi dengan pihak yang mencetuskan provokasi terhadap Islam.
Permasalahan ini, mula menonjol sejak era pentadbiran pasca Mahathir, bukannya permasalahan politik, tetapi permasalahan keselamatan masyarakat dan keselamatan nasional.
Ada pihak menghujah, provokasi terhadap Islam semakin ugal-ugalan mungkin kerana pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Betul atau tidak, ini bukan isunya. Persoalannya, bagaimanakah pemerintah Malaysia mahu menangani provokasi ini.
Provokasi terhadap Islam mutakhir ini memang mainan segolongan orang politik alternatif. Tetapi, secara terancang, mainan politik ini membabitkan peruntukan Perlembagaan yang struktural dan keselamatan nasional yang tidak boleh digolok-gadaikan.
Lantas jangan dibiarkan sesudah nyawa terkorban dan darah melimpah, baru tergesa-gesa untuk bertindak. Gunakan kuasa sepenuhnya dan kuatkuasakan undang-undang setegas-tegasnya.
Rakyat biasa Malaysia agak kurang memahami dimensi dan implikasi konflik agama atau konflik etnik dalam konteks geopolitik. Tetapi, mereka faham jika huraian mengenai Georgia dan Libya di atas dijadikan contoh.
Mereka juga akan faham apabila Arab Spring di Asia Barat menyebabkan Presiden Barack Obama menukar dasar luar Amerika Syarikat (AS) untuk memihak kepada kelompok perusuh atas nama pengembangan demokrasi termasuk di Libya, Tunisia dan Mesir.
Apa yang berlaku di Asia Barat ini tidak mustahil terjadi di Malaysia jika dilanda konflik agama atau konflik etnik. Pihak yang bertujuan campur tangan, boleh menggunakan alasan untuk memelihara hak-hak asasi manusia sejagat, menegakkan kesaksamaan sepenuhnya atau lain-lainnya.
Tetapi, motif utamanya adalah mendorong pertukaran rejim, mewujudkan pemerintahan proksi dan menguasai Malaysia. Lantas Malaysia terdedah kepada tindakan asing seperti di Georgia, Libya, Tunisia atau Mesir, jika konflik agama atau konflik tercetus di abad ke-21.
Ini kerana bila AS aktif semula di Asia Tenggara dan Asia-Pasifik untuk mengimbangi kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dunia, Malaysia kembali strategik dalam perhitungan geopolitik AS.
Sebabnya, Malaysia mempunyai lokasi strategik selaku negara pesisir Selat Melaka dan Laut China Selatan, nadi kepada pengangkutan petroleum secara maritim menuju ke Asia Timur, khususnya China sebagai pesaing AS.
Sikap pemerintah Malaysia mutakhir terhadap percubaan AS menguasai kedua-dua laluan laut ini ditolak secara berdiplomasi. Ini untuk mengimbangkan hubungan Malaysia dengan AS, rakan dagang utamanya di peringkat dunia dan hubungan Malaysia dengan China, rakan dagang terbesarnya di peringkat Asia.
Malaysia mutakhir terpaksa bertindak demikian kerana China dan komunisme bukan lagi musuh AS dan demokrasi. Pendirian ini, bagaimanapun, boleh berubah jika pemerintahan Malaysia ditukar atas dukungan kuasa-kuasa besar tertentu. Ini sebabnya pemerintah Malaysia mesti bertegas terhadap pihak yang memprovokasi Islam.
Jangan biarkan kelompok ini didalangi oleh mana-mana kuasa luar yang cuba mengeksploitasi konflik entik di Malaysia supaya bertukar menjadi Malaysia Spring untuk memudahkan agenda geopolitik kuasa-kuasa besar di Asia Tenggara.
Lantas agenda mutakhir sesetengah pihak terhadap Islam di Malaysia, jangan dipandang ringan. Sama ada ia sebahagian perancangan besar antarabangsa atau hanya gerakan domestik, pemerintah mesti mencemburuinya demi keselamatan nasional.
Kesimpulannya, provokasi terhadap Islam di Malaysia sekarang boleh mencetuskan konflik agama, konflik etnik dan mungkin dieksploitasikan pihak oportunis luaran supaya meledakkan Malaysia Spring. Provokasi ini mesti ditangani dengan tegas dan segera.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140214/re_02/Provokasi-agama-dan-keselamatan-nasional#ixzz2tGFGadNc © Utusan Melayu (M) Bhd
KOMEN : PADALAH ADA ORANG MEROYON TAHAP ORANG GILA SEBAB NAK SANGAT JADI PM SUPAYA SENANG NEGARA MALAYSIA DI LIWAT.... BAHAYA...
No comments:
Post a Comment