Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 27 February 2014

Projek Langat 2 diteruskan - AIR LUDAH JATUH KE MUKA KHALID


Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my




Najib Tun Razak (dua dari kiri) dan Muhyiddin Yassin menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Selangor di Putrajaya, semalam. Kerajaan Pusat diwakili Dr. Maximus Ongkili (kiri) manakala Selangor diwakili Khalid Ibrahim (kanan). - UTUSAN/ ZAKI AMIRUDDIN

PUTRAJAYA 26 Feb. - Selepas menangguhkan pelaksanaan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) selama hampir enam tahun, kerajaan Selangor hari ini akhirnya akur untuk membenarkan projek itu diteruskan.

Projek Langat 2 yang tertangguh sejak 2008 akan diteruskan selepas Selangor bersetuju mengeluarkan kebenaran merancang (Development Order) berkuat kuasa hari ini.

Persetujuan tersebut sejajar dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri berhubung penstrukturan semula industri bekalan air Selangor di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Sehubungan itu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, kerajaan Selangor akan memastikan semua kelulusan dan kebenaran yang berkaitan dengan pembangunan projek Langat 2 diluluskan dalam masa 30 hari dari tarikh memorandum itu ditandatangani.

"Melalui MoU ini, Kerajaan Persekutuan turut membenarkan Kerajaan Selangor mengemukakan tawaran untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri tersebut iaitu Puncak Niaga Sdn. Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd.

"Kerajaan Persekutuan juga bersedia menyuntik dana tambahan untuk membantu Kerajaan Selangor mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air dan seterusnya membenarkan mereka menguruskan perkhidmatan bekalan air melalui satu syarikat milik kerajaan negeri," katanya dalam sidang akhbar selepas menandatangani MoU, di sini hari ini.

Dalam majlis yang cukup bersejarah itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Ongkili manakala Kerajaan Selangor diwakili oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menandatangani perjanjian tersebut.

Antara lain MoU itu mengambil kira:

l Pelaksanaan penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor oleh kerajaan Selangor sebagai suatu keperluan yang berterusan bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan bekalan air di Selangor serta mengambil kira perkhidmatan bekalan air yang lebih mampan dan efisien bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya.

l Kerajaan Persekutuan sedang melaksanakan Skim Bekalan Air dari Pahang ke Selangor yang mempunyai dua komponen iaitu Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor, mengambil kira MoU antara Pahang dan Selangor mengenai pembekalan air mentah bertarikh 27 Mac 2001 dan Perjanjian Jual Beli Air Mentah antara Pahang dan Selangor pada 22 November 2007. Lanjutan daripada itu, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan merupakan satu langkah jangka panjang untuk menjamin bekalan air berterusan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dalam pada itu, Ongkili berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa yang turut dianggotai wakil Kerajaan Selangor bagi pelaksanaan projek Langat 2.

"Dengan termeterainya memorandum persefahaman ini, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor berharap semua syarikat konsesi air di Selangor memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan penstrukturan semua industri perkhidmatan bekalan air demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Ongkili sebelum itu mengakui kegagalan mencari sebarang penyelesaian berhubung isu air di Selangor sejak 2008, bukan sahaja telah menjejaskan industri perkhidmatan bekalan air di negeri berkenaan, malah memberi kesan kepada negara berikutan projek-projek pembangunan baharu tidak dapat dimulakan disebabkan ketiadaan bekalan air.

"Kemelut itu telah menyebabkan pembinaan Langat 2 yang merupakan langkah Kerajaan Persekutuan untuk selesaikan masalah kekurangan air di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya tertangguh sehingga kini.

"Namun begitu pada Mei 2013, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor bersetuju agar satu rundingan semula diadakan antara kerajaan Selangor dan semua syarikat konsesi bagi mencapai persetujuan berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor termasuk pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi berkenaan," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai projek Langat 2, Ongkili berkata, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya 39 bulan dari sekarang.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140227/dn_01/Projek-Langat-2-diteruskan#ixzz2uUFTUXC6  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: