Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my
JOHOR BAHRU - Biarpun mencatat kemenangan selesa ke atas gergasi Lembah Klang, Selangor 4-1 dalam perlawanan Liga Super kelmarin, namun Johor Darul Ta'zim (JDT) enggan dibuai mimpi, sebaliknya mahu segera mengalihkan fokus kepada satu lagi aksi genting menentang Kedah pada suku akhir kedua Piala FA, esok.
Menurut pengendali Harimau Selatan, Cesar Ferrando Jiminez, beliau berpuas hati dengan kejayaan membelasah Red Giants yang dianggap hasil kerja keras pemain.
Namun begitu, beliau tidak mahu berasa selesa dengan kemenangan tersebut, sebaliknya menegaskan, tumpuannya kini adalah kepada persiapan untuk menghadapi Kedah di Alor Setar.
Katanya, pertemuan dengan Kedah di Stadium Darul Aman penting kerana sudah beliau mahu pasukan bimbingannya mara ke pusingan seterusnya dan terus melakar kejayaan seperti diimpikan.
"Sama ada (Pablo) Aimar dan Aidil (Zafuan Abd. Razak) cergas untuk diturunkan atau tidak, itu perkara lain. Penting bukan pada nama, tetapi kesungguhan mereka di atas padang kerana pada saya semua pemain adalah penting buat pasukan.
"Kami akan memulakan sesi latihan esok (hari ini). Melihat sendiri segala keperluan dan seterusnya memikirkan mengenai perlawanan akan datang," katanya sambil memuji kesungguhan ditunjukkan anak buahnya sepanjang latihan.
Dalam perlawanan kelmarin, skuad Harimau Selatan dilihat sudah mula menunjukkan taring dan Jiminez mengakui, beliau bangga dengan semangat juang dipamer anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan.
Sementara itu, biarpun JDT mula menunjukkan aksi baik, namun spekulasi mengenai bekas pengendali Kelantan, Bojan Hodak bakal menggantikan Jiminez terus bertiup kencang apabila jurulatih dari Croatia itu dilihat muncul sekali lagi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, kelmarin.
Selepas menonton perlawanan di antara JDT II dan PBAPP dalam aksi Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang, Jumaat lalu, Hodak tampil memakai baju JDT untuk menonton perlawanan pasukan itu menentang Selangor, kelmarin.
Beliau hadir bersama penganalisis bola sepak terkenal, Shebby Singh.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140217/su_02/JDT-segera-alih-tumpuan#ixzz2tYA3JHiL © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment